Mukadimah
‘Penindasan serta kesewenang-wenangan, Banyak lagi, teramat banyak untuk disebutkan, Hoi hentikan, hentikan jangan diteruskan, Kami muak dengan ketidakpastian dan keserakahan’.
Demikian sebaris lirik lagu berjudul ‘Bongkar’ garapan seniman rebel Indonesia bernama Iwan Fals. Liriknya tepat mengenai batang hidung politikus negara Garuda itu, yang didakwa asyik suruh rakyat sabar, sabar, dan sabar tanpa ada sebarang tindakan.
Dalam konteks tanah air, gelombang politik itu nampaknya disahut seorang seniman terkenal, Datuk Afdlin Shauki Aksan. Melihat nasib industri seni yang sering dianak tiri, beliau menyatakan sokongan secara terbuka kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil meletak harapan agar Anwar dapat ubah kebobrokan sedia ada.
Persoalannya, kenapa tak mendekati kerajaan yang memerintah dan luahkan kekecewaan? Kenapa perlu menghulur salam kepada pembangkang, seolah-olah mahu membakar segala ‘jambatan’ di sekeliling?
Berusaha mendapatkan perspektif, wartawan Mingguan Malaysia Roshihan Annuar Yub, Aida Rizmariza Kamaruddin dan Fahmi Faiz bertemu bual dengan beliau di pejabatnya di Bangsar, baru-baru ini. Ia turut disertai juruvideo Mohd. Fikri Fadzil serta jurukamera Muhammad Fariz Rusadio.
MINGGUAN MALAYSIA: Perkembangan terkini Datuk?
Daripada diri saya sendiri, kurang sikit berkembang kerana jaga makan dan jaga kesihatan (tertawa). Dari segi bidang seninya, dalam proses nak siapkan filem Baik Punya Ah Long. Dari segi kerjanya, saya bekerja di sini di Petra Media, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
Macam mana pula perkembangan politik?
Apa yang berlaku sekarang tidak banyak bezanya dengan Yayasan Afdlin Shauki yang diasaskan pada 2016, untuk membantu pelarian luar negara terutama Palestin, Syria dan Rohingya. Di pentas politik pula, saya ada rancangan untuk membantu rakan artis, anak seni pada masa hadapan.
Apa kaitan yayasan dengan cerita politik Datuk?
Kaitannya adalah perkara asas yang kita buat sebenarnya sama. Politik juga untuk membantu rakyat. Namun sekarang ia dikaburkan sebab ramai orang berborak benda lain selain daripada membantu rakyat. Jadi saya bukan career politician, maknanya saya bukan jenis yang masuk gelanggang sebab nak berpolitik. Cuma pada saya, ini ialah kesinambungan kerja yang masih lagi membantu rakyat.
Apa menggerakkan pilih PKR?
Ramai yang tahu bahawa dahulu saya dalam UMNO bersama arwah Harun Salim Bachik. Kita sokong kerajaan ketika itu untuk membantu rakan-rakan artis. Masa itu tiada niat nak berpolitik langsung, Kita tak pernah dipanggil untuk berkempen, kalau ada pun kita tolak sebab tidak mahu jadi sebahagian daripada politik itu. Cuma hari ini bila kita perhatikan apa yang berlaku dalam arena politik timbul rasa ingin ambil tahu. Adakah nasib kita sebagai anak seni terbela? Kita juga sedar, bahawa kerajaan ketika itu (Barisan Nasional) ada satu benda yang dipanggil senarai hitam. Ini bermaksud artis-artis yang tak menyokong, akan disenarai hitam.
Boleh ulas lanjut?
Pada saya, ia tak sepatutnya berlaku kerana kita negara demokrasi. Semua bebas untuk berfikir dan menyokong siapa. Ketika itu jika kamu tak sokong kerajaan, kamu tidak akan dapat kerja-kerja daripada mereka. Kehidupan artis ini memang kais pagi makan pagi. Kami adalah buruh yang keluar majalah. Kalau tak bekerja, kami tiada pendapatan. Duit yang dapat pun tak banyak, sebab ia berdasarkan projek berasas seni. Kita bukan buat projek bina jambatan. Maka kita tak pernah bergelumang dalam wang yang banyak. Dan rezeki kepada artis yang berjaya di luar sana, itu kerana mereka luar biasa. Kurang lima peratus sahaja yang tergolong dalam kalangan yang hidup mewah. Bakinya hidup biasa hinggalah yang tidak punya apa-apa.
ANWAR SUKA SENI?
Jadi, kenapa pilih PKR?
Saya pandang satu, iaitu pemimpin dia yang sangat peka dengan seni. Bila berbual dengan Datuk Seri Anwar, dia menceritakan bagaimana dia pernah menerima nasihat daripada anak-anaknya ketika muzik rap disekat, dia akan buat kajian terhadap persoalan itu. Dia adalah seorang yang sentiasa menonton filem, dan sangat peka terhadap karya puisi, seni dan sebagainya. Jadi seni dalam pembinaan negara, adalah sangat penting. Ini juga ditunjukkan melalui tindakan beliau yang minat berbual dengan artis-artis.
Pemimpin lain tak peka?
Sebelum ini bukan tiada ahli politik yang kerap berbual, tapi tiada sebarang tindakan diambil. Ini berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang mana mereka sebelum ditumbangkan sudah mula mengorak langkah dalam industri seni untuk buat perubahan. Sebelum sempat, mereka ditukar. Jadi pada saya, niat itu sudah nampak.
Maksud Datuk, kerajaan dulu tak jaga artis?
Ada juga rakan artis lain cakap, sejak dulu kerajaan dah jaga artis. Saya tak nafikan kerajaan ada jaga artis, tapi hormat pada artis itu adalah satu benda berbeza. Hormat bermakna kalau kamu berfikiran sebagai seorang artis sahaja, maknanya nak peluang kerja, dan kerajaan beri peluang kerja. Tapi adakah kerajaan membantu kita dari segi intellectual property (IP)? Kepada orang yang bergelumang dalam seni, IP ini sangat penting, dan ia tak dijaga sewaktu BN dulu.
Boleh beri contoh?
Kalau kita buka cerita pasal IP ini, maksudmnya kita buka kain semua pihak. Contohnya, macam mana VCD, DVD cetak rompak, plagiarism orang menggunakan content kita di stesen tv, semua ini sedang berlaku. Malah setiap stesen yang merupakan monopoli, mereka akan cuba mengambil semua hak artis. Misalnya kamu ada idea buat sebuah kerusi, duduk sahaja kamu terus sihat. Jadi kamu pergi ke Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk patenkan idea ini dan mereka akan lindungi kamu. Sebab ini idea yang selepas ini akan jadi barang. Jadi idea seorang anak seni akan jadi barang juga, tapi ia tiada perlindungan yang sama. Kerana apa? Kerana ia hanya sebuah hiburan pada tanggapan mereka.
Maksudnya, kerajaan BN dulu tak lindungi IP anak seni?
Ia satu yang kurang dilindungi. Kalau tak, tak lah jadi masalah macam sekarang,
Sejauh mana keyakinan, kalau Anwar jadi pemimpin, maka IP akan dilindungi?
Okay, ini adalah salah satu benda yang saya dan Anwar bualkan. Saya cakap, Datuk Seri, saya tak mahu apa yang berlaku kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berlaku lagi. Dia setuju, dan dia cakap memang betul, kita mesti lindungi hak intelektual termasuk golongan seni di Malaysia ini.
RAKAMAN AUDIO ANWAR, ZAHID
Masih percaya kepada Anwar selepas konspirasi back door deal dengan Zahid melalui rakaman audio?
Saya tidak dengar lagi, tapi saya tidak tahu apa masalahnya pada PKR. Bukankah back door deal dibuat parti-parti lain. Pada saya, kalau lah ia betul sekalipun, apa masalah ahli politik berbual? Pasal semua pun buat cuma tiada keluar rakaman sahaja. Yang mana lompat masuk ke sana sini, mesti ada panggilan juga kan? Mana tape itu? Jadi, saya tak boleh komen. Pada saya ini adalah perkara biasa dan tak pandang sebagai masalah pun.
Adakah Datuk dijanjikan sebarang imbuhan untuk sertai politik?
Setahu saya PKR ini adalah parti yang miskin (tertawa). Malah, pembangkang pula. Maknanya pembangkang ini apa? Mereka tiada dana, saya keluar duit adalah.
Sebelum ini, Datuk Hans Isaac mengorak langkah sertai PKR. Dia ada komen tindakan Datuk?
Dia senyum sahaja.
KELUAR TANDUK?
Pandangan Datuk terhadap Hans yang kini semakin aktif berpolitik?
Saya agak kagum sebab sebagai artis, dia berani untuk buat benda ini. Sama apa yang berlaku bila saya dengan Altimet masuk. Maknanya kita bakar jambatan sekeliling. barulah kita kenal kawan-kawan sebenarnya ia sesuatu yang baru. Dari kecil dahulu saya suka buat benda yang mencabar .
Mungkinkah PKR hanya hendak tumpang populariti Datuk?
Pada saya kalau ada (populariti), kenapa tak guna? Tapi ada juga yang tidak akan suka pasal saya masuk politik. Saya mahu beritahu, politik adalah fahaman yang saya cuba hendak ikut. Dahulu pun masa saya jadi artis, ada juga yang suka dan tak suka. Jadi, sama sahaja macam sekarang, tiada beza. Bukan tiba-tiba saya masuk parti, tiba-tiba keluar tanduk pula, sama sahaja. Cuma ada pegangan, dan orang tahu nanti bila pilihan raya, saya akan undi siapa. Itu sahaja.
Maksudnya, setuju dengan tindakan politikus rekrut selebriti?
Pengaruh selebriti dalam politik bukan benda baharu. Di Amerika Syarikat, Ronald Reagan jadi Presiden berdasarkan populariti dia sebagai seorang selebriti. Artis bila berjalan dengan setengah Ahli Parlimen (MP) pun, orang tak kenal MP itu, tetapi mungkin orang kenal artis tersebut. Ada kelebihan untuk tarik perhatian, tapi hak memilih dan mengundi itu terpulanglah pada mereka.
Artis di negara luar cukup lantang berpolitik berbeza di Malaysia, kenapa?
Kerana di sini, kita takut kalau rezeki itu disekat. Di Indonesia misalnya, artis-artis sangat lantang bersuara. Jika ada isu-isu sosial yang tidak ditangani oleh kerajaan dan ahli-ahli politik, mereka akan tulis buat lagu, filem dan sebagainya. Ini adalah salah satu cara bersuara yang berhemah daripada memaki hamun orang.
Keadaan selebriti ditekan kerajaan masih berlaku sehingga sekarang?
Saya tidak berapa pasti, tapi perkara ini sudah berlaku sejak dahulu. Kalau kita hendak sokong, perlu sokong kerajaan yang memerintah, bukan sokong pembangkang. Pada saya tidak ada masalah pun, nak sokong pembangkang atau kerajaan, itu terpulang. Sebenarnya pemimpin di atas itu semua berkawan baik, yang selalu bergaduh orang di bawah saja. Agenda saya, mahu buat happy politic.
Boleh ulas lanjut?
Kenapa bila kita berborak pasal politik timbul isu yang muram, emosional, stress dan negatif. Kenapa kita tidak ceriakan politik ini dengan cara membawa kebaikan, sesuatu yang baik dan positif.
Kenapa tidak usulkan niat murni ini kepada kerajaan sekarang, tetapi memilih mengadu kepada pembangkang?
Saya bukan ikut parti sebenarnya. Saya ikut Anwar Ibrahim. Dia individu yang sangat besar dalam persada politik, Dia pandai empower people. Bila berbual dengannya, anda akan rasa penting di matanya. Dan kita dapat buat benda itu dengan lebih baik. Dahulu dia masuk penjara bertahun-tahun, tinggalkan anak-anak dan isteri. Bila keluar, dia maafkan orang yang masukkan dia dalam penjara. Ini orang jenis apa ini?
‘PARTI AVENGERS’
Kalau Anwar masuk UMNO, Datuk masuk UMNO juga?
Saya ikut pemimpin itu. Saya ikut orang yang saya hormati.
Maksudnya, secara hipotesis, Datuk masuk UMNO lah?
Saya takkan cakap, dan ini sebenarnya soalan yang sangat dahsyat (tertawa). Tapi macam saya cakap, saya percaya dia. Saya lihat, dia boleh move on. Dan saya nak cakap satu benda. Dia telah dijanjikan kerusi Perdana Menteri. Dan rakyat pun seronok dengar bila dia akan diberi peluang. Tetapi bila peluangnya ditarik balik, kita rasa tertipu. Kita fikir, eh kenapa tidak beri dia peluang? Kenapa tak cuba dia? Tak suka kita tukar.
Sejak bila mengikuti ketokohan Anwar?
Daripada hari yang dia ditangkap. Saya datang rumahnya bersama keluarga kenalan. Masa itu saya muda lagi. Dia tak tahu pun saya ada. Keluarga dia pun tak kenal saya.
Datuk turut serta dalam reformasi?
Jujur saya cakap, saya tak sertai reformasi. Pasal sebagai artis saya hendak berkecuali. Pegangan saya sebelum ini, sentiasa berkecuali.
Tak takut cetuskan gelombang dalam kalangan artis untuk sokong pembangkang?
Saya tak rasa takut, jika terjadi ia menunjukkan sesuatu benda yang betul terjadi. Pada saya, ini bukan kerja saya untuk bercakap ‘inilah parti yang paling baik’.
Tun Dr. Mahathir selalu menyebut, Anwar ini liberal. Jadi tak pernah berfikir akan kata-kata Tun?
Saya hormati Tun. Salah satu sebab saya follow UMNO dahulu adalah kerana Tun. Tapi oleh kerana apa yang berlaku dalam politik, dan janji yang beliau tidak kotakan, itu saya rasa sedikit terkilan. Saya hormat beliau sebab sudah buat macam-macam untuk negara ini. Dan saya pun seronok ketika beliau jadi ketua Pakatan Harapan (PH) untuk lawan kerajaan yang ketika itu banyak masalah. Rasa macam pasukan impian, macam Avengers. Tiba-tiba ada Tun Dr. Mahathir, ada Anwar. Tapi apabila pengkhianatan itu berlaku, rasa terkilan sangat.
Kenapa Datuk rasa Tun tidak beri pada Anwar?
Itu saya tak tahu. Saya tak boleh cakap kalau memang saya tak tahu.
KALAU KERAJAAN AMBIL MAKLUM
Kalau selepas wawancara ini tersiar, kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus tunaikan dan laksanakan setiap agenda yang Datuk perjuangkan?
Kau dah kenapa? (tertawa). Alhamdullillah. Agaknya suara saya akhirnya didengar.
Adakah ketika itu nanti, Datuk akan tinggalkan Anwar?
Tidak, maksudnya jika perkara itu berlaku, saya sangat gembira dan seronok. Alhamdullillah suara saya akhirnya didengar.
Jadi maksudnya, kalau ia berlaku Datuk akan tinggalkan politik kerana impian sudah tercapai?
Macam saya cakap akan terus membantu mereka yang susah. Sekali lagi saya nyatakan saya ikut ketokohannya. Bukan pasal PKR. Kalau tanya pasal PKR, cabang, ranting, semua saya tak tahu. Kena belajar semua ini. Yang saya tahu ialah pemimpinnya. Pada saya kalau sudah tercapai pun agenda, saya akan terus sokong beliau.
FILEM LOMPAT PARTI
Jika PKR tidak jadi kerajaan selepas ini, adakah nak lompat parti?
Saya akan buat filem tentang orang yang melompat ini (tertawa). Bila ada pengalaman dalam politik, saya boleh cerita pasal orang politik. Contoh sekarang ini kalau kita buat cerita cinta, pasti kita pernah bercinta. Jika tidak macam mana nak kaitkan perasaan itu? Kalau tidak jadi kerajaan, agenda tidak sampai dan tidak diperlukan lagi, saya keluarlah. Saya buat filem.
Kalau buat filem tentang Anwar siapa pelakonnya? Anwar sendiri?
Eh, tidak, kita kena carilah pelakon itu. Tapi tak boleh sebutlah nama yang kita cadangkan, nanti kena blacklist (tertawa). – Mingguan Malaysia










