Zahid wajar dipersalah jika dominasi parti politik Melayu gagal dicapai? -

Zahid wajar dipersalah jika dominasi parti politik Melayu gagal dicapai?

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi wajar dipersalahkan sekiranya dominasi parti politik Melayu Islam gagal dicapai.

Ia rentetan keputusan beliau bersama Majlis Tertinggi (MT) UMNO menamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerajui Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, Ahmad Zahid seharusnya sedar bahawa tindakan berkenaan hanya ‘memperjudikan’ kekuatan parti politik Melayu Islam di negara ini.

“Matlamat untuk mempertahankan dominasi politik Melayu Islam ini akan terencat dan konsep perjuangan dan penyatuan ummah tidak bermakna lagi.

“Dominasi politik Melayu Islam masih relevan dalam formula perpaduan dan pembangunan negara kerana sudah terbukti Pakatan Harapan (PH) gagal memenuhi kepentingan masyarakat Melayu dari segi polisi sepanjang mentadbir negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

UMNO secara rasmi menghantar surat menamatkan kerjasama dengan Bersatu pada 26 Februari lalu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Janda Baik, Pahang.

Surat tersebut terkandung mengenai sokongan terhadap PN hanya sehingga PRU-15 sahaja dan UMNO akan bertanding sendiri di bawah tiket Barisan Nasional (BN) bersama parti komponennya.

Nirwandy mendakwa, punca kepada masalah ketidakpercayaan masyarakat yang terlalu tebal terhadap UMNO disebabkan Ahmad Zahid mengutamakan kepentingan peribadi.

“Akar umbi UMNO perlu bersuara dan meletakkan kepentingan parti lebih dari kepentingan pimpinan utama demi perpaduan dan pengekalan dominasi parti politik Melayu Islam.

“Jajaran kerjasama politik UMNO yang baharu tidak akan berupaya menyokong atau mempertahankan dasar-dasar yang berkepentingan kepada majoriti rakyat Melayu Islam di negara ini kerana keputusan beliau telah memecahbelahkan dan menghilangkan kepercayaan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×