GUA MUSANG: Sebahagian besar daripada 15,996 masyarakat Orang Asli di 16 penempatan utama di daerah ini masih menjalani kehidupan harian mereka tanpa bekalan elektrik sejak negara mencapai kemerdekaan 64 tahun lalu.
Daripada 16 penempatan utama tersebut, hanya tujuh lokasi menikmati bekalan elektrik manakala penduduk di sembilan lagi penempatan utama masih bergantung kepada cahaya api lilin atau pelita untuk menerangi kegelapan malam.
Berdasarkan rekod Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, setakat Februari 2021, terdapat sebanyak 3,792 ketua isi rumah (KIR) Orang Asli di seluruh Gua Musang.
Daripada jumlah itu, 1,583 KIR di sembilan penempatan atau pos belum menikmati kemudahan asas tersebut.
Sembilan penempatan terbabit ialah Pos Hendrop dan Pos Tuel (407 KIR), Pos Blau (138 KIR), Kuala Koh (61 KIR), Pos Gob (172 KIR), Pos Bihai (246 KIR), Pos Belatim (122 KIR), Pos Balar (197 KIR) dan Pos Hau (240 KIR).
Ketua Kampung Om di Pos Blau, Jali Angah berkata, kesemua 12 keluarga yang tinggal di kampung itu seolah-olah berada di zaman sebelum merdeka apabila masih lagi hidup dalam kegelapan sebaik sahaja malam melabuhkan tirai.
“Kami tiada pilihan dan masih guna cahaya lilin dan pelita yang tidak dapat bertahan lama serta perlu dijimatkan.
“Mahu tidak mahu, anak-anak tidur awal kerana tidak dapat buat apa-apa aktiviti. Kalau ada kerja sekolah, mereka perlu siapkan sebelum malam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang penduduk, Ghani Arifin, 39, pula berkata, Kampung Om bukanlah berada di lokasi pedalaman, sebaliknya terletak di tepi Jalan Gua Musang-Lojing.
“Dua belas keluarga di kampung ini masih tidak menerima bekalan elektrik seperti mana kampung Orang Asli lain di Tanah Tinggi Lojing yang kita tahu ada kebun dan ladang dibangunkan orang luar.
“Kami hairan kenapa kampung kami masih lagi tidak dapat bekalan asas ini walaupun berada di tepi jalan utama. Kalau terletak di pedalaman beratus kilometer dan perlu dilalui jalan balak, kami masih boleh terima,” katanya.
Suri rumah, Aleh Bainun Benji, 26, berkata, setiap tahun, mereka sering diberitahu tentang peruntukan kerajaan berjumlah puluhan juta ringgit bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di penempatan Orang Asli.
“Namun, kampung kami masih tidak mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut,” katanya.
Selain Kampung Om, terdapat lima lagi kampung di Pos Blau iaitu Kampung Selyeh, Blau, Kelaik, Sintang dan Batang Baru manakala sebanyak 138 rumah di seluruh Pos Blau dan kesemuanya belum dibekalkan kemudahan elektrik. – UTUSAN










