ARAU: Prestasi baik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhadapan tempoh mencabar pandemik Covid-19 menyaksikan gabungan tersebut mempunyai masa depan cerah dan mampu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Malah diakui, pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ketika pergolakan politik negara tahun lalu adalah pilihan cukup tepat.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Dr. Mashitah Mohd. Udin berkata, di era pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009-2018, Muhyiddin adalah Timbalan Perdana Menteri yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negara.
Katanya, selepas jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH), sememangnya kena pada tempatnya apabila dilantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
“Melihat kepada perwatakan dan peribadi Muhyiddin yang lebih berkompromi dan mesra rakyat, beliau (Muhyiddin) boleh diterima oleh rakyat pelbagai kaum.
“Ini merupakan faktor penting bagi mencapai kejayaan dalam memimpin dan membawa Malaysia ke hadapan dalam norma baharu selepas tahun 2020. Muhyiddin juga mempunyai father figure yang senang didampingi oleh rakyat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Tambah Mashitah, Muhyiddin boleh dikatakan pemimpin Melayu yang boleh menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini selain perwatakan dan sifatnya yang sederhana.
“Beliau pemimpin politik yang cukup berintegriti dan memegang kuat kepada konsep rule of law dan separation of power dalam pentadbiran. Perkara ini amat penting ditegakkan di Malaysia yang pernah dikenali sebagai negara kleptokrasi,” katanya.
Katanya, berdepan dengan reputasi Malaysia yang terjejas teruk akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan kedudukan ekonomi terjejas dengan teruk, namun Muhyiddin dan kerajaan PN berjaya menanganinya dengan baik.
“Pujian harus diberikan kepada prestasi Muhyiddin dan kerajaan PN kerana mereka mampu mengekalkan stabiliti politik dan mewujudkan keadaan aman damai tanpa sebarang rusuhan dan tunjuk perasan di negara ini.
“Kejayaan ini sebenarnya berpunca dari kebijaksanaan Muhyiddin sebagai pemimpin yang mampu membaca keadaan dan senario politik semasa tanah air dengan tepat. Beliau sabar menganalisis dan memerhati keadaan, cekal dan mengambil tindakan wajar serta tepat pada masanya,” katanya. – UTUSAN










