MM2H dibolos perisik? - Utusan Malaysia

MM2H dibolos perisik?

KAUNSELOR Kedutaan Korea Utara, Kim Yu-Song membawa bagasi selepas tiba di KLIA sebelum menaiki pesawat komersial ke Pudong, China susulan arahan kerajaan yang memberi tempoh 48 jam kepada pihak Kedutaan Korea Utara meninggalkan Malaysia. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemelut diplomatik Malaysia-Korea Utara berpunca daripada individu bernama Mun Chol-myong ‘membongkar’ kepada isu kelemahan sistem keselamatan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, Chol-myong yang diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram adalah salah seorang peserta MM2H.

Chol-myong bersama isteri dan anak perempuannya dipercayai tinggal di Malaysia sejak program MM2H dilancarkan sekitar 2002.

Program MM2H inisiatif kerajaan yang dilihat mampu menjana pendapatan.

Namun, timbul persoalan adakah latar belakang setiap pemohon program itu benar-benar ‘bersih’ atau diteliti atau boleh disalah guna individu tertentu luar sebagai ‘tiket’ menjadi perisik bagi melancarkan sesuatu agenda.

“Jika kita terlepas pandang, tidak mustahil MM2H ini boleh dijadikan platform untuk mana-mana individu ada agenda melakukan perisikan dan penyamaran kerana kegiatan peserta MM2H susah dikesan.

“Difahamkan, ada antara rakyat Korea Utara yang tinggal di negara ini bagi menjalankan perniagaan sebelum menyerahkan dana-dana tertentu bagi menyatakan sokongan mereka kepada rejim Korea Utara. Jadi siapa Chol-myong sebenarnya tidak dapat dipastikan,” katanya di sini semalam.

Sumber mendedahkan, sebenarnya peserta MM2H tidak melalui tapisan yang betul sebelum diterima menyertai program berkenaan.

Difahamkan program MM2H telah dibekukan dan ada sebahagian peserta program tersebut telah pulang ke negara asal masing-masing.

Bagaimanapun, jelas sumber, tidak dinafikan ada sebahagian lagi dipercayai masih berada di negara ini termasuk keluarga Chol-myong.

Bagaimanapun, kata sumber, tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia menyebabkan kira-kira 30 warga tersebut terpaksa meninggalkan negara ini kira-kira pukul 4 petang semalam.

Mereka yang terdiri daripada pegawai diplomatik dan ahli keluarga serta beberapa peserta MM2H itu menaiki pesawat China Eastern Airlines ke Shanghai, China sebelum dikuarantin 14 hari di sana.

“Selepas itu, mereka akan meneruskan perjalanan menuju ke Beijing sebelum dikuarantin tujuh hari sebelum mereka bebas untuk duduk di situ atau memilih untuk pulang ke Pyongyang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia berada di Korea Utara ketika ini.

Wisma Putra memaklumkan Malaysia telah menutup pejabat kedutaan di Pyongyang sejak 2017 dan semua kakitangannya sudah pulang ke tanah air.

Terdahulu, Konsular Kedutaan Korea Utara, Kim Yu-song memberi amaran keras kepada Malaysia berhubung tindakan kerajaan dalam isu melibatkan rakyat warganegara republik itu.
Dalam kenyataan Yu-song sebelum meninggalkan kedutaan semalam, Malaysia akan menerima akibat daripada tindakan tersebut.

“Kami tidak berpuas hati dengan tindakan meletakkan warganegara kami yang tidak bersalah dan secara membuta tuli berpihak kepada musuh utama Pyongyang.

“Pihak berkuasa Malaysia akan memikul sepenuhnya tanggungjawab terhadap kesan yang bakal dihadapi akibat daripada tindakannya susulan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Malaysia memberi tempoh 48 jam kepada pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara untuk meninggalkan negara ini.

Keputusan tersebut diambil selepas Korea Utara bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia kerana tidak berpuas hati terhadap tindakan mengekstradisi warganegaranya ke AS.

Wisma Putra menegaskan, Malaysia berhak bertindak balas terhadap keputusan Korea Utara demi melindungi kedaulatan dan menjaga kepentingan negara.

Kementerian Luar Korea Utara dalam satu kenyataan pula berkata, Malaysia didakwa melakukan ‘jenayah yang tidak boleh dimaafkan’ kerana menghantar rakyatnya yang tidak bersalah ke negara yang menjadi musuh ketat republik itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×