DAP terus kukuh, mampu ketuai pakatan politik - Utusan Malaysia

DAP terus kukuh, mampu ketuai pakatan politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP yang memiliki kedudukan terbesar di Dewan Rakyat berbanding parti lain sama ada blok kerajaan atau sekutunya sendiri, PKR dengan 42 ahli Parlimen dilihat berpotensi mengetuai satu pakatan politik terkuat tanah air.

Meskipun berhadapan krisis kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) sehingga tumbangnya kerajaan Persekutuan dan negeri termasuk beberapa siri ahli Parlimen melompat parti, DAP kekal kukuh menerusi penguasaan wakil rakyat teramai di samping tiada rekod melompat parti.

Situasi ini berbeza dengan parti-parti politik Melayu dan Islam yang berlaku perpecahan serta melompat parti sehingga melemahkan mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, DAP mampu mengetuai satu pakatan politik terkuat yang bukan sahaja dilihat dari segi kedudukan kerusi Parlimen.

Malah katanya, ia juga berdasarkan keupayaan mobilisasi sokongan dan mengambil kira kekuatan akar umbi sejak berada dalam kancah politik negara.

Katanya, parti itu mempunyai jentera yang ramai dan tenaga kerja berupaya mendekati pelbagai kumpulan sasar termasuk golongan muda.

“Parti ini tidak pernah kering ketandusan pemimpin muda berkelayakan. Mereka banyak melahirkan pemimpin politik muda apatah lagi ramai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) usia muda adalah daripada DAP.

“Sehingga kini, DAP masih dilihat sebagai satu parti siasah terkuat di negara ini. Parti ini tetap kekal dan tidak tergugat kerana kerusi yang ditandingi bukan sekadar jumlah, tetapi bilangan berupaya dimenangi,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr. Azmi Hassan berkata, percaturan DAP menjadi ‘taiko besar’ pakatan politik perlu dilihat sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sama ada mereka mempertaruhkan lebih ramai calon ahli Parlimen atau sebaliknya.

Katanya, DAP wajar mengambil kira kelemahan PKR ketika melakukan rundingan dalam meletakkan calon pilihan raya sejajar usaha mereka memperkukuh penguasaan dalam Dewan Rakyat.

“Misalnya ketika Konvensyen DAP Perak semalam, mereka mahu menambah lapan kerusi Parlimen sekali gus menunjukkan parti itu mahu memperluas pengaruh politik mereka.

“Sama ada ia berlaku atau tidak, ia terpulang di meja rundingan kelak. Namun paling utama DAP akan menjadi parti berpengaruh dan akhirnya mampu menduduki jawatan penting Kabinet seperti mana kemenangan PH dalam pilihan raya lalu,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah, Dr. Lee Kuok Tiung bagaimanapun berpendapat, DAP belum berupaya mengetuai pakatan politik kerana selama ini bertanding dalam jumlah kerusi kecil berbanding PKR, sebaliknya mereka boleh berperanan sebagai parti dominan dalam satu-satu pakatan politik.

Katanya, DAP dilihat realistik dalam mempertaruhkan calon pilihan raya dan perkara itu dibuktikan apabila mereka menang di semua kerusi ditandinginya dalam beberapa siri pilihan raya selama ini walaupun jumlah kerusi dipertaruhkan tidak banyak seperti parti lain.

“Soal sama ada DAP boleh mengetuai gagasan politik atau tidak, ia bergantung kepada bentuk kerjasama politik kelak. Namun bagi saya, ia agak sukar memandangkan parti ini masih dilihat sebagai parti kaum Cina dan sentimen ini agak susah diterima rakyat khususnya kaum Melayu.

“Walaupun parti itu cuba menghapuskan persepsi parti kaum Cina dengan meletakkan calon orang Melayu, namun majoriti wakil rakyat adalah dalam kalangan kaum Cina.

“Berhubung calon Perdana Menteri daripada DAP, saya percaya mereka akan berunding terlebih dahulu dengan rakan-rakan sekutu lain seperti PKR dan Amanah. Malah selama ini mereka hanya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri melainkan jika Anwar sudah tiada. PH perlu berbincang lebih lanjut berhubung calon PM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN