Syarat i-Sinar dimansuh - Utusan Malaysia

Syarat i-Sinar dimansuh

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur kurang daripada 55 tahun kini dibenarkan membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki sedia ada.

Bagi ahli yang mempunyai simpanan RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000 dan pembayaran dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

Mereka yang mempunyai lebih dari RM100,000 boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1, dengan pengeluaran maksimum RM60,000 manakala pembayaran dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kebenaran itu diberikan berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambah baik inisiatif tersebut setelah mengambil kira maklum balas pihak awam.

Langkah tersebut, kata beliau, diharap dapat membantu ahli-ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, bagi ahli yang telah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.

Pada masa sama katanya, jumlah pengeluaran dari Akaun 1 serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal.

“Bagi ahli yang mempunyai simpanan RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000 dan pembayaran dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

“Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1, dengan pengeluaran maksimum sebanyak RM60,000 manakala pembayaran dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut Tengku Zafrul, berikutan perubahan yang perlu dilakukan kepada sistem dan proses dalaman i-Sinar Online, KWSP memerlukan masa yang mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan itu.

Justeru, jelas beliau, pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat oleh KWSP.

“Ahli juga dinasihatkan agar merujuk maklumat sahih daripada KWSP melalui saluran-saluran komunikasi rasminya dan sentiasa berwaspada dengan maklumat yang tidak sahih bertujuan menipu atau mengelirukan ahli,” katanya.

Setakat ini, KWSP mempunyai 13 juta pencarum dengan 9 juta aktif dan menguruskan dana berjumlah kira-kira RM940 bilion.

KWSP juga sebelum ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu menggantikan Tunku Alizakri Alias berkuat kuasa pada 1 Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN