
BELUM reda ancaman penggodaman dari kumpulan ‘Anonymous Malaysia’, kita dikejutkan dengan berita tular pelajar nakal menonton video lucah ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sedang berlangsung. Hal ini bukannya berlaku di negara Barat, tetapi di Malaysia.
Masyarakat perlu sedar bahawa isu ini bukanlah baharu. Kita banyak mendengar anak-anak remaja seawal di sekolah rendah terlibat dengan ketagihan pornografi.
Ada antaranya terjebak dengan seks bawah umur dan pelbagai perbuatan tidak bermoral. Yang mengejutkan peristiwa sebegini dilaporkan berlaku di rumah, sekali gus mengundang persoalan apakah peranan ibu bapa dalam memantau aktiviti atas talian anak-anak.
Dari sudut perundangan, undang-undang yang mengharamkan pornografi telah lama digubal dan dikuatkuasa.
Umpamanya, Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang melarang sesiapa menjual, membolehkan mendapat upah, mengedarkan, mempamerkan secara terbuka atau dengan apa-apa cara digunakan untuk mengedar, atau untuk tujuan jualan, sewa, pengedaran, pameran awam atau peredaran membuat, menghasil atau memiliki dalamnya memiliki mana-mana buku lucah, risalah, lukisan, lukisan, lambang atau angka atau mana-mana objek lucah yang lain.
Sementara itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia melarang penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk — (i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan (ii) memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.
Jika kita imbas kembali, Seksyen 3 Akta Komunikasi dan Multimedia dan MSC Bill of Guarantee mengamalkan prinsip tiada penapisan Internet di Malaysia serta kawalan kendiri (self-regulation).
Sejak lebih 15 tahun lalu, kerajaan mengambil keputusan melaksanakan polisi kawalan kendiri yang mana pengguna internet perlu mendisiplinkan diri dengan mengelakkan kandungan digital yang negatif.
Pelbagai program advokasi dijalankan untuk meluaskan pemahaman masyarakat tentang kepentingan kawalan kendiri di dunia siber.
Dengan terjadinya pelbagai kejadian termasuk murid menonton video lucah semasa PdPR ini, mungkin memberi petanda bahawa polisi kawalan kendiri perlu disemak semula dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Dalam hal PdPR ini, peranan ibu bapa tidak boleh lagi dinafikan memandangkan PdPR itu berlaku di rumah dan diselia oleh ibu bapa. Golongan ini perlu peka dan harus memantau aktiviti atas talian anak-anak. Hal ini boleh dilakukan melalui pelbagai aplikasi seperti Google Family Link for parents.
Jika kita tidak mahui internet di Malaysia disekat seperti di beberapa negara autokratik, maka peranan masyarakat terutamanya ibu bapa yang paling dekat dengan anak-anak perlu dimainkan sebaiknya agar kejadian sebegini tidak berulang.
Dari segi pengawal seliaan kandungan digital, hanya kandungan yang telah dilaporkan melanggar undang-undang Malaysia boleh disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKKM) dari peringkat rangkaian atau network level.
Namun, seperti isu penggodaman, pengawal seliaan kandungan dalam internet turut memberi cabaran besar buat agensi pengawal selia seperti SKMM. Laman web pornografi tumbuh bagaikan cendawan di seluruh dunia. Usaha untuk menyekat akses terhadap laman web sebegini telah banyak dilakukan.
SKMM dilaporkan menyekat ribuan laman web lucah yang berpengkalan di dalam dan luar negara. Namun begitu, usaha sebegini seperti ‘menyiram air di daun keladi’ kerana terdapat juga teknologi dicipta untuk memintas sekatan seperti penggunaan virtual private network ataupun VPN.
Pada masa ini, masih belum ada kes mahkamah yang memutuskan bahawa penggunaan VPN adalah haram di Malaysia. Namun jika diteliti maksud di sebalik Seksyen 233 di atas, adalah mungkin untuk penggunaan VPN turut diharamkan apabila ia digunakan dengan tujuan yang tidak wajar serta niat yang tidak baik. Hal ini perlu diteliti oleh pihak berwajib agar perundangan sedia ada harus selari dengan kemajuan teknologi yang berubah setiap hari.
Akhir kata, pandemik Covid-19 telah membuka ruang luas untuk kita mencuba teknik pengajaran dan pembelajaran secara atas talian sepenuhnya. Hal ini mungkin tidak akan berlaku jika tiada keadaan yang memaksa. Risiko kandungan digital yang negatif tetap ada di dunia maya. Seperti juga di dunia nyata, usaha perlu diperkasakan supaya kita bukan sekadar bersandar pada pengawalan kendiri.
Terdapat guru-guru yang masih baru dengan suasana PdPR dan isu sebegini boleh memberi persepsi yang tidak baik terhadap pembelajaran online. Usaha ini perlu bermula dari rumah, dan ibu bapa perlu segera mengawal aktiviti atas talian anak-anak yang masih muda remaja daripada terjebak dengan perkara negatif.
Pada masa sama, pihak berwajib perlu berusaha mengurangkan pendedahan netizen kepada risiko digital seperti laman web lucah dan mempromosi keganasan.
Dr. Mahyuddin Daud ialah Pensyarah Kanan (Undang-undang Siber) di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










