Melayu berpecah hanya modal politik Bersatu - Utusan Malaysia

Melayu berpecah hanya modal politik Bersatu

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Isu perpecahan Melayu yang dicetuskan ke­pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berikutan keputusan UMNO tidak mahu bekerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya sekadar modal politik meraih simpati.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, Bersatu ketika ini terdesak kerana menye­dari keputusan UMNO bakal memberi kesan besar terhadap keupayaan Perikatan Nasional (PN) dan parti itu menghadapi PRU-15.

Menurut beliau, pada masa ini, UMNO dan Pas dilihat ada kekuatan masing-masing, malah Bersatu semasa kerjasama tersebut tidak mampu memberi tambahan kekuatan kepada kedua-dua parti itu.

“UMNO membuat keputusan itu kerana sedar Bersatu tidak boleh memberi apa-apa tambahan kekuatan manakala Pas pula dilihat mampu memberi kelebihan menyebabkan mereka lebih cenderung mahu bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

“Namun UMNO pun sebenarnya bersedia berdepan PRU-15 tanpa Pas jika parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang memilih Bersatu kerana sedar Bersatu juga tidak memiliki kekuatan untuk membantu Pas.

“Atas faktor itu, Bersatu kini tersepit kerana tiada kekuatan sendiri, maka mereka mula menjadikan perpecahan Melayu sebagai modal politik supaya timbul elemen simpati dengan harapan ketiga-tiga parti ini dapat kekal bersama dalam PRU-15,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan semalam mempersoalkan kesanggupan UMNO mengambil risiko yang boleh mengakibatkan Melayu hilang kuasa apabila menolak kerjasama dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Mahfuz menambah, beliau percaya polemik yang berlaku pada hari ini berpunca daripada Pas yang tidak konsisten untuk membentuk kesatuan bersama UMNO dalam MN dengan turut menyer­tai PN bersama Bersatu.

“Kalaulah Pas terus konsisten untuk bersama UMNO dalam PN satu ketika dulu, Bersatu saya percaya tidak mempunyai pilihan selain daripada turut menyer­tai MN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN