Melaka berpotensi jadi jelapang padi kedua - Utusan Malaysia

Melaka berpotensi jadi jelapang padi kedua

MOHD. Shakirin Mohd. Zan bersama Musa Arib menunjukkan padi yang kering kerana tidak menerima air mencukupi di Kampung Pinang A, Batang Tiga, Melaka, semalam. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka berpotensi menjadi negeri jelapang padi ke­dua negara selepas Kedah jika infrastruktur pengairan sawah di negeri ini diberikan perhatian yang sewajarnya.

Meskipun tanaman padi hanya diusahakan di tiga daerah sahaja iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin, namun Melaka Tengah memiliki kawasan penanaman terbesar bagi zon selatan dengan keluasan sawah kira-kira 1,500 hektar.

Keluasan tanah sawah itu mampu menghasilkan pengelua­ran beras sebanyak dua kali setahun, sekali gus mampu menampung keperluan seluruh rakyat negeri ini tanpa perlu berharap sumber luar seperti beras import.

Bagaimanapun, masalah sumber air yang terhad di Melaka Tengah yang mana rata-rata pesawah bergantung harap sepenuhnya pada air hujan mencetuskan pelbagai polemik daripada menyemai benih sehinggalah ke menuai hasil.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Mohd. Shakirin Mohd. Zan menyatakan kekecewaannya berhubung kegagalan pihak berwajib menilai potensi besar daerah berkenaan.

Beliau berkata, sumber tanah yang subur dan sesuai dengan pelbagai jenis benih padi, sistem pengaliran air yang baik mampu meningkatkan lagi pengeluaran kepada empat kali setahun.

Jelasnya, dengan pertambahan itu, beras yang dikeluarkan di Melaka Tengah mampu untuk menampung keperluan negeri-negeri lain khususnya di Selatan antaranya Johor dan Negeri Sembilan tanpa perlu bergantung kepada pengeluar sebelah utara.

“Melaka Tengah ada lebih kurang 1,500 hektar sawah yang terbesar di Selatan tetapi kami dianaktirikan. Masalah air bukan perkara baharu sebab sudah lama berpanjangan.

“Saya melihat negeri ini mampu menggalas tugas sebagai jelapang padi kedua negara. Paling tidak pun jelapang padi Selatan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh Kedah.

“Pesawah di sini berharap sepenuhnya pada air hujan. Jadi jadual penanaman benih itu sedikit terganggu sebab kita kena tunggu hujan turun.

“Bila terlalu lambat kita tak boleh kejar untuk tanam dua kali setahun, jadi itu mendatangkan kerugian kepada pesawah,” katanya ketika ditemui di rumah­nya di Kampung Pinang A, Batang Tiga di sini.

Dalam pada itu, salah seorang pesawah di daerah itu, Musa Arib berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) wajar melihat potensi tanaman padi di negeri itu.

Beliau berkata, meskipun te­lah ada tindakan untuk membina sistem pengaliran dengan nilai peruntukan RM6 juta, namun mekanisme pembinaannya dilihat tidak bersesuaian dan tidak berjaya menampung sepenuhnya keperluan di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN