KUALA LUMPUR: Isu penyelewengan tanah rizab Melayu berkeluasan 641.6 hektar di Sitiawan, Perak yang didakwa berpindah milik kepada bukan Melayu sudah selesai dan tidak seharusnya dibangkitkan lagi oleh mana-mana pihak.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menegaskan, hasil pemeriksaan dan siasatan kerajaan negeri, status tanah tersebut masih lagi rizab Melayu.
Menurutnya, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri sudah memberi penjelasan kepada pihak yang mendedahkan isu itu, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman, baru-baru ini.
“Hamidah sudah dimaklumkan secara rasmi oleh Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip semasa berkunjung ke pejabatnya baru-baru ini.
“Hamidah pun tahu (isu) sebab dia pernah menjadi Exco pada masa kejadian.
“Jawapan PTG adalah jawapan sebenar, tiada dolak dalik. Ia mesti diterima oleh semua pihak,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.
Hamidah sebelum ini mendakwa, seluas 641.6 hektar tanah rizab Melayu di Sitiawan telah dipindah milik kepada bukan Melayu akibat penyelewengan sindiket dipercayai didalangi oleh pegawai kerajaan.
Dakwanya, pada 21 November 1997, kerajaan negeri telah memberi pajakan selama 99 tahun sebahagian tanah tersebut kepada sebuah syarikat yang pengarahnya seorang bukan Melayu.
Hasil siasatannya mendapati, tanah tersebut kini telah dipecah kepada 317 plot berbeza yang 100 peratus dimiliki orang bukan Melayu dan dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit. – UTUSAN










