Dream Weddings tinggal angan-angan - Utusan Malaysia

Dream Weddings tinggal angan-angan

Usia bukan halangan pasangan sama cantik dan sama padan ini disatukan. – Ihsan Fillea Studio
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Alhamdulillah.” itulah kalimat yang terbit daripada mulut kedua-dua mempelai bagai pinang dibelah dua pelakon Intan Ladyana dan suami, Harris Alif, setelah urusan pernikahan mereka selesai dilaksanakan meskipun berlangsung dalam situasi pandemik Covid-19, Jumaat lalu.

Ini bermakna, impian merealisasikan majlis resepsi raja sehari hanyalah tinggal angan-angan. Sungguhpun begitu, mereka tetap akur dengan takdir yang sudah tertulis dan hanya mampu menunggu masa yang sesuai untuk mewujudkan dream weddings.

“Sebagai seorang perempuan sudah tentunya kita mempunyai keinginan merealisasikan impian perkahwinan termasuklah diri saya. Tetapi melihat keadaan sekarang, kita kena titik beratkan soal keselamatan dan terima sahajalah dengan ketentuan-Nya.

“Jadi tidak bolehlah berada dalam angan-angan untuk mengadakan resepsi selepas pernikahan. Justeru itu, berkenaan tiga resepsi seperti yang dirancang terpaksa ditangguhkan sehinggalah majlis-majlis tertentu dibenarkan pada satu masa oleh pihak kerajaan.

“Maka, kami pun tidak mahulah merancang apa-apa dalam masa terdekat ini, insya-Allah kita nantikan perutusan daripada kerajaan nanti bagaimana,” luah pelakon drama bersiri Hari Kita Jatuh Cinta yang mengimpikan untuk mewujudkan perkahwinan berkonsepkan di tepi pantai ataupun magical.

Terdahulu, Harris Alif, 22, selamat bernikah dengan pelakon, Intan Ladyana, 38, bertempat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sekitar jam 10 pagi, Jumaat. Mereka sebelum ini telah memilih 6 Februari 2021 sebagai hari bahagia mereka, namun memutuskan untuk menganjak tarikh sehari lebih awal dari perancangan asal. Ia tidak lain disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berlangsung ketika ini.

Pada majlis terbabit, kedua mempelai tampak berseri-seri menyarung busana daripada Hatta Dolmat dan Epul Senitravision. Mendapat sentuhan tatarias daripada Ian Sham dan Aqmal Adly, keduanya tidak lekang mengukir senyuman bahagia apabila akhirnya mahligai cinta diidamkan termakbul dan berakhir ke jenjang pelamin.

Harris dan Intan turut ditaja Four Points by Sheraton sebagai lokasi persiapan nikah, Bella Hudd (Penata Gaya Hijab).

Mengikut perancangan awal, pasangan ini turut mendapat tajaan lebih RM13.5 juta untuk beberapa majlis yang sepatutnya dilangsungkan termasuk malam berinai, majlis pernikahan, resepi dan majlis bertandang.

Lazimnya dalam dunia hiburan apabila seorang artis mendirikan rumah tangga ataupun menimang cahaya mata, ada di antara mereka yang akan memperlahankan penglibatan kerjaya seni kerana mahu memberikan sepenuh perhatian terhadap tanggungjawab lain.

Sebaliknya, bagi Intan Ladyana atau nama penuhnya Intan Nurladyana Mohamat Yahaya, mengenai perkara itu dia hanya meletakkan kepada takdir.

“Sebenarnya saya masih lagi mempunyai komitmen lakonan yang tertunggak, tak habis lagi (tergelak kecil). Namun buat masa ini yang tergendala antaranya drama 18 episod untuk Awesome TV berjudul Hari Kita Jatuh Cinta dan filem seram Banglo Seksyen 12.

“Bagi saya walau dalam apa jua keadaan sekalipun, saya akan lunaskan terlebih dahulu urusan kerja yang masih berbaki.

“Seandainya kelak saya sudah tidak mampu untuk meneruskan, barulah saya akan berehat sebentar dari penggambaran, Insya-Allah,” tuturnya.

Tambah aktres Banglo Berkunci itu lagi, biarpun berehat seketika dari radar hiburan ini tidak bermakna dia hanya goyang kaki. Sebaliknya Intan akan mengambil peluang tersebut dengan sebaik-baiknya ibarat rajin mengais, tembolok berisi.

“Sudah tentunya waktu luang saya itu nanti bukan kosong-kosong tetapi akan dipenuhi dengan jadual aktiviti perniagaan untuk menjana pendapatan,” katanya.

Ditebak dengan soalan wajib, adakah pasangan ini sudah bersedia sekiranya dianugerahkan cahaya mata dalam tempoh terdekat ini, Nor Harris Alif Nor Rashidi atau Harris Alif tersenyum simpul.
“Untuk bertiga ya? Insya-Allah ada rezeki terima sahaja,” jawabnya ringkas. Intan di samping suami, hanya tersenyum dan mengiakan jawapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN