Bukan semua pelakon berpeluang menghidupkan watak yang akhirnya menjadi identiti mereka di mata masyarakat. Namun bagi pelakon, Salina Saibi, membintangi drama bersiri Gerak Khas untuk tempoh yang lama bukan sekadar mencipta rekod, malah mengubah cara orang mengenalinya.
Hubungan akrab yang terjalin sepanjang bekerja di bawah arahan Datuk Yusof Haslam terbitan Skop Productions turut membuatkan Salina sering dikaitkan sebagai ‘anak emas’ penerbit dan pengarah terkenal itu.
Bagaimanapun, pelakon itu menganggap layanan yang diterima bukanlah layanan istimewa, sebaliknya terhasil daripada hubungan kekeluargaan yang terbina sepanjang bertahun-tahun bekerjasama.
“Saya sangat terharu apabila beliau masih lagi mempercayai saya untuk bawa watak sebegini. Bukan senang sebenarnya mahu mengambil hati seorang Datuk Yusof Haslam ini.
“Kami bekerja seperti sebuah keluarga, beliau umpama seorang ayah dan pelakon Gerak Khas yang lain seperti adik-beradik.
“Jadi kami seronok bekerja bersama. Itu juga yang membuatkan saya mahu terus menyokong Yusof. Apabila dipanggil, saya tidak akan menolak,” kongsinya.
Menurut Salina, walaupun pernah menerima tawaran daripada produksi lain, dia tidak menidakkan wujud pihak yang keberatan untuk ‘mengganggu’ barisan pelakon yang sinonim dengan karya-karya Datuk Yusof Haslam.
“Ada pihak yang datang tawarkan untuk berlakon. Cuma kadang-kadang mereka takut juga usik pelakon-pelakon Datuk Yusof Haslam,” jelasnya.
Membintangi Gerak Khas 2.0, Salina memberitahu dirinya pernah terasa sedih apabila drama bersiri itu ditamatkan penerbitannya sebelum ini.
“Sewaktu drama ini ditamatkan, saya berasa sangat sedih. Dalam masa sama, ada juga rasa lega sebab kami sudah bersama selama 15 tahun ketika itu.
“Namun kami sudah berjanji dengan Datuk bahawa kami akan terus berjuang sehingga penghujungnya. Jadi kami akan terus menyokong Datuk. Takkanlah Gerak Khas tidak ada Salina Saibi, bukan?,” ujarnya.
Dulu orang panggil saya ‘bohsia’, sekarang ASP Salina
Pernah dipanggil dengan nama watak menerusi filem Bohsia, hari ini Salina lebih sinonim sebagai Asisten Superintendan Polis (ASP) Salina, satu gelaran yang dianggap cukup bermakna sepanjang perjalanan seninya.
Mengakui tidak pernah menyangka akan bertahan selama lebih dua dekad dalam drama yang mengangkat badan beruniform itu, Salina menyifatkan kepercayaan yang diberikan kepadanya menjadi penyebab dia terus setia bersama naskhah ikonik tersebut.
“Saya bersama Gerak Khas selama lebih dua puluh tahun. Orang kata, saya antara yang paling lama. Sebenarnya saya pun tidak sangka. Mungkin kerana komitmen saya terhadap watak yang kami cipta bersama-sama dengan Yusof.
“Jadi, benda itu yang buat kita semangat mahu teruskan. Saya memang tidak sangka saya dapat menjadi sebahagian daripadanya sebab saya memang minat siri ini dari kecil lagi.
“Daripada inspektor, kepada ASP. Watak ini dicipta lasak, kasar dan tangkas. Jadi, saya berbangga menjadi ASP Salina sampai sekarang,” katanya.
Mengulas mengenai watak ASP Salina membuatkan dirinya terus relevan dalam industri, dia tidak menafikannya, malah berbangga apabila identitinya kini terpahat dalam hati semua penonton yang terdiri daripada pelbagai generasi.
“Saya memang banyak berlakon Gerak Khas saja, jarang berlakon dalam drama lain. Tapi orang masih nampak saya sebagai pelakon Gerak Khas.
“Lagi pula watak yang diberikan bukan karakter biasa, diimpikan setiap pelakon di Malaysia. Semua orang mahu jadi polis, mahu watak dalam Gerak Khas. Erra Fazira juga berlakon dalam drama ini.
“Jadi saya rasa peluang ini sangat besar untuk saya. Saya perlu jagalah amanah serta kepercayaan ini dan buat yang sehabis baik. Dulu orang panggil saya Bohsia. Sekarang orang panggil saya ASP Salina,” selorohnya.










