BENARKAH? Seorang ahli perniagaan tersohor yang juga Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berpendapat, kenyataan ini tidak benar, malah tidak boleh dipertahankan.
Di peringkat antarabangsa, negara-negara yang mempunyai reputasi terbaik adalah kerana amalan rasuah pada tahap minimum. Sebagai contoh, New Zealand dan Sweden merupakan negara paling kurang rasuah dalam Indeks Persepsi Rasuah 2020 (CPI 2020). Kedua-duanya juga antara negara paling disenangi untuk menjalankan perniagaan. Dalam persekitaran urus niaga, bukan sahaja amalan ketelusan diutamakan, tahap kesedaran antirasuah juga pada tahap amat tinggi. Negara-negara ini mempunyai ekonomi maju, mantap dan didukung institusi berwibawa yang bebas.
Apabila wujud tanggapan bisnes dan rasuah berjalan seiring, ia petanda ekonomi dan amalan perniagaan tidak sejajar dengan urus tadbir negara terbabit. Kebanyakan negara ini mempunyai CPI yang rendah dan tercorot termasuk Malaysia. Natijahnya, tiada siapa mahu melancong, apatah lagi melabur jika indeks rasuahnya teruk, sekali gus menjejaskan ekonomi.
Jenayah rasuah atau bisnes dan rasuah seiring boleh berlaku di mana-mana sama ada orang dalam organisasi sendiri atau pembabitan pihak luar.
Apabila kerajaan memperkenalkan dasar penswastaan dan Malaysian Incorporated, penekanan diberikan kepada meningkatkan kerjasama sektor awam dan swasta untuk mempergiatkan lagi proses pembangunan negara. Malangnya dasar ini disalah gunakan serta dieksploitasi. Bersekongkol kedua-dua belah pihak terdiri daripada ahli politik dan pegawai kanan kerajaan (penerima) dengan ahli perniagaan (pemberi) yang tiada integriti kerana ghairah hendak cepat kaya. Rasuah dibayar untuk mendapatkan keistimewaan dan kelebihan demi keuntungan. Mereka merosakkan dasar kerajaan hingga lahir golongan kaya raya melalui pendapatan tidak halal.
Della Porta and Vannucci dalam kajian rasuah di Itali berpendapat, corrupt exchanges between public officials and business managers are usually sustained through networks of politicians, business, mafia and middlemen. Corruption operates successfully because of a complex web of relationships between public officials (bribe-receivers), business cartels (bribe-givers), middlemen (act as consultants or agents and organised crime (play a covert enforcement role) that ensure ‘flow of information’ (discretionary powers) in exchange for ‘money’ (bribes) with the underlying element of ‘trust.’ Tambah beliau, ia berlaku sama di negara-negara lain.
KOMISEN
Individu atau kelompok tertentu yang mempunyai pengaruh atau kekuasaan boleh berbuat sesuatu untuk mendapat keuntungan kepentingan dan peribadi. Ada yang berselindung di sebalik syarikat tertentu. Pemilik benefisiari ini iaitu pemilik sebenar syarikat atau harta hanya boleh diketahui apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminda Akta SPRM 2009 kelak.
Berdasarkan pada aduan rasuah, SPRM mendapati 63 peratus melibatkan pegawai sektor awam, sektor perolehan (43%) dan penguatkuasaan (24%). Ini kerana public sector that has the power that is exchangeable with money.
SPRM mengenal pasti 16 bentuk penyelewengan yang kerap berlaku dalam sistem perolehan. Ia termasuk menerima komisen antara lima hingga 10 peratus berdasarkan harga projek daripada syarikat-syarikat yang berjaya, membocorkan maklumat termasuk nilai kontrak kepada kontraktor tertentu, menciplak kertas cadangan dikemukakan oleh pihak tertentu dan kemudian memberi kepada syarikat lain, sengaja meminta syarikat-syarikat tertentu memasuki sebut harga dengan harga lebih tinggi, sengaja mencipta sebut harga menggunakan kepala surat atau profil syarikat tertentu sedangkan syarikat tersebut sendiri tidak tahu-menahu mengenainya, berpakat dengan pembekal untuk mendapatkan sebut harga lima syarikat lain sebagai syarat mematuhi peraturan.
GHAIRAH
Bentuk-bentuk kesalahan kerap dilakukan oleh pembekal pula termasuk menyogok pegawai untuk memenangi projek atau kontrak ditawarkan, peranan orang tengah mengumpulkan profil-profil syarikat lain untuk memasuki sebut harga, meraikan pegawai bagi tujuan melobi projek, membayar rasuah untuk mendapatkan surat sokongan orang kenamaan, membuat tuntutan penuh sedangkan pembekalan barangan tidak lengkap atau mencukupi, dan mengurangkan kualiti barangan yang dibekalkan.
Perlu ditekankan di sini, seseorang peniaga rela mengeluarkan wang bayaran rasuah kerana sudah terpaksa. Buat apa mereka hendak habiskan wang mereka sendiri? Tetapi kerana terpaksa, mereka kena bagi rasuah walaupun bisnes boleh dibuat secara betul lurus ikut prosedur bagi permohonan lesen, permit, kebenaran atau kelulusan.
Dalam negara-negara membangun, gejala tersebut amat berleluasa. Dalam dekad-dekad terkini, terdapat negara-negara maju yang CPI 2020 merosot terjerumus ke arah keruntuhan moral, etika dan amalan rasuah.
Bagi mengatasi dan mengikis amalan rasuah, pemimpin, ahli politik dan ketua jabatan perlu lebih bertanggungjawab, akauntibiliti dan peka terhadap perlakuan rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan. Mereka tidak harus lepas tangan. Setiap ketua jabatan perlu membentuk sistem pemantauan dan kelulusan berlapis. Ia bukan bertujuan mewujudkan kerenah birokrasi tetapi mengurangkan keputusan terhadap sesuatu pembelian berpusat kepada seseorang sahaja.
Pemeriksaan mengejut ke atas pelaksanaan projek wajar dilakukan bertepatan dengan konsep turun padang. Syarikat-syarikat pembekal atau kontraktor yang gagal memenuhi syarat kontrak atau sebut harga wajib disenarai hitam dan diambil tindakan undang-undang.
Dalam hal ini, kerjasama orang ramai juga penting dengan memberi sokongan penuh bagi membolehkan SPRM bertindak secara efektif dan bebas. Jika setiap individu mempunyai kesedaran etika kerja, mengamalkan sikap integriti dan amanah dalam menjalankan tugas atau bisnes, maka rasuah dapat diatasi dengan baik.
Datuk Seri Akhbar Satar ialah Pengarah Urusan Akhbar & Associates.










