KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran dijangka merekodkan skala lebih besar berbanding 5.3 peratus pada Mei tahun lalu jika kerajaan memutuskan menutup sektor ekonomi sepenuhnya.
Pakar ekonomi, Datuk Dr. Madeline Berma berkata, ini berikutan lebih banyak sektor ekonomi yang mungkin ‘gulung tikar’ dan kehilangan pekerjaan akibat tidak boleh beroperasi di tengah peningkatan kes Covid-19.
Bagaimanapun Madeline tidak memberikan anggaran peratusan kadar pengangguran itu kerana memerlukan pengiraan yang teliti dan tepat.
Antara lain, jika kerajaan bertekad melakukannya, usaha kerajaan menyuntik pelbagai dana yang setakat ini sudah berjumlah RM320 bilion hanya sia-sia malah meletakkan beban lebih besar dengan memberikan lebih banyak pakej rangsangan baharu untuk membantu rakyat pada masa akan datang.
“Kesannya, ini akan meluaskan lagi defisit kerajaan. Jadi daripada kerajaan membelanjakan lebih banyak lagi dana, adalah lebih baik menggunakan duit tersebut untuk pemulihan ekonomi.
“Menutup sepenuhnya sektor tersebut bukan jalan penyelesaian dalam membendung penularan Covid-19 kerana ketika ini, ekonomi negara berada di fasa pemulihan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada 14 Julai lalu, Jabatan Perangkaan merekodkan kadar pengangguran negara ini meningkat kepada 5.3 peratus dengan seramai 826,100 penganggur.
Kelmarin, sepucuk surat Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) kepada ahlinya mendakwa Malaysia bercadang melaksanakan penutupan ekonomi selepas 4 Februari depan jika kes jangkitan Covid-19 gagal dikurangkan.
Cakap-cakap itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang berharap kerajaan tidak mengambil langkah menutup sektor ekonomi walaupun kes jangkitan Covid-19 meningkat beberapa minggu akan datang.
Madeline berkata, menutup sektor ekonomi sepenuhnya mengundang penarafan ke atas kedudukan fiskal negara di peringkat antarabangsa oleh Fitch Ratings menurun selain menjejaskan pelabur untuk tidak mahu melabur di negara ini.
“Katakan sebelum ini penarafan negara kita adalah A- tetapi sekarang turun satu anak tangga. Di peringkat antarabangsa, mereka melihat adakah negara kita mahir dalam mengurus kewangannya? Jika tidak, pelabur tidak sesekali berani mengambil risiko untuk melabur di sini.
Senada dengan beliau, Pensyarah Kanan Ekonomi, Putra Business School, Dr. Ida Md. Yasin berkata, pemegang taruh sektor ekonomi yang berniaga secara dalam talian mungkin boleh bertahan dalam tempoh masa tertentu sepanjang penggantungan operasi.
Bagaimanapun katanya, tiada jaminan bagi peniaga dan peruncit yang tiada saluran perniagaan sama malah pendapatan mereka dijangkakan lingkup sepenuhnya.
“Walau apa pun, paling utama adalah kesihatan semua pihak tetapi caranya menangani masalah ini bukanlah melalui penutupan sepenuhnya. Hadkan sahaja pembukaan kedai makan,” katanya. – UTUSAN










