Tun Mohamed Salleh angkat integriti kehakiman - Utusan Malaysia

Tun Mohamed Salleh angkat integriti kehakiman

PETUGAS Jabatan Kesihatan Terengganu menguruskan pengkebumian jenazah Tun Dr. Mohamed Salleh Abas di Kuala Terengganu, semalam. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Allahyarham Tun Dr. Mohamed Salleh Abas meninggalkan jasa yang besar dalam memperkasa dan me­ngangkat integriti institusi kehakiman negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, sumbangan itu dibuat sepanjang perkhidmatan beliau selaku Ketua Hakim Negara dari 1984-1988.

“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas kehilangan orang tersayang. Semoga mereka tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau semalam.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim menyi­fatkan Allahyarham Mohamed Salleh berpengaruh, sa­ngat cermat dan memiliki pemikiran yang tajam dalam aspek perundangan negara.

Rais berkata, harapan untuk lahir generasi yang bersifat persis Salleh bukan sekadar pada nama bahkan ciri-ciri kepe­mimpinan, keyakinan dan pemikiran yang tajam terutama dari aspek perundangan negara.

“Pemergian beliau amat saya rasai dan ia mencetuskan kekosongan dalam bidang perundangan, kehakiman dan ju­ga kepemimpinan terhadap politik negeri di mana beliau menceburi diri dalam kerajaan Pas beberapa tahun yang lalu,” katanya semalam.

Sementara itu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat meluahkan rasa sedih atas kepulangan Mohamed Salleh ke rahmatullah.

Beliau yang mewakili badan kehakiman negara berkata, kehilangan Allahyarham amat dirasai kerana bekas Ketua Hakim Negara itu banyak memberi sumbangan dalam kehakiman.

“Pemergian Tun Salleh me­rupakan satu kehilangan yang amat besar terutama kepada Badan Kehakiman Malaysia. Allahyarham Tun telah banyak berjasa kepada Badan Kehakiman Malaysia sepanjang tempoh perkhidmatan Allahyarham Tun sebagai Ketua Hakim Negara,” kata Tengku Maimun dalam satu kenyataan di sini.

Peguam berpengalaman yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram menyifatkan Allahyarham Mohamed Salleh meninggalkan ruang ‘vakum’ sangat luas dalam profesion perunda­ngan negara.

Menurut beliau, Allahyarham bertugas secara profesio­nal ketika berjawatan Peguam Cara Negara di Jabatan Peguam Negara yang mana ketika itu tiada ahli politik yang berani mempengaruhi pegawai-pegawai di jabatan tersebut.

Sementara itu, jenazah Allahyarham Mohamed Salleh, 91, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Kuala Terengganu semalam, bersebelahan pusara isterinya, Allahyarham Toh Puan Azimah Mohd. Ali yang mening­gal dunia pada 2015.

Allahyarham yang positif Covid-19 menghembuskan na­fas terakhir di unit rawatan rapi (ICU) HSNZ di sini kira-kira pukul 3.20 pagi semalam.

Urusan pengebumian Allahyarham yang berasal dari Kampung Raja, Besut itu dikendalikan kakitangan Jabatan Kesihatan Terengganu.

Allahyarham yang merupakan Ketua Hakim Negara dari tahun 1984 hingga 1988 me­ninggalkan lima anak dan 26 cucu.

Sementara itu, menantunya, Wan Pauzi Yahya berkata, bapa mentuanya dimasukkan ke HSNZ Khamis lalu selepas di­sahkan positif Covid-19.

“Allahyarham sudah membuat wasiat sekiranya meninggal dunia mahu dikebumikan di sebelah pusara isterinya,” katanya.

Allahyarham Mohamed Sal­leh pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih mewakili Pas apabila memenangi Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU-10) pada 1999. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN