Pusaka kita dimamah bangsa sendiri - Utusan Malaysia

Pusaka kita dimamah bangsa sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA ketika saya rasa kehilangan.

Ini bila mana orang-orang lama yang cukup berpengalaman, berpengaruh – dengan diri mereka sendiri ibarat ‘khutub khanah, bahan sejarah’ bangsa – kembali ke rahmatullah. Berpulang ke hadrat-Nya.

Saya takut kehilangan lagi orang-orang penting seperti negarawan, profesor yang disanjungi, guru serta ahli korporat yang berjasa besar kepada anak bangsa dan tanah air ini.
Bila mereka ini pergi, ia umpama membawa pergi sebahagian ilmu dan budaya Melayu yang belum sempat dikongsi itu. Sebab itu ada banyak ketika saya ‘menggasak’ wartawan-wartawan muda untuk berjumpa dan menemu bual individu-individu lama ini ‘sementara masih ada waktu’- untuk ‘menggali’ memoir sejarah, pengalaman, nilai dan pengaruh mereka agar dijadikan panduan dan iktibar kepada generasi muda hari ini.

SISTEM NILAI

Hari ini, saya terpana (kesedihan membuat akal tidak berdaya) kerana banyak sistem nilai Melayu lama sudah tiada lagi. Sementelahan pula sebahagian besar amalan budaya Melayu itu sudah diselaputi dan ditenggelami perubahan yang amat tebal.

Subjek atau mata pelajaran budi dan budaya seperti muzik, kesusasteraan, bahasa indah, adat dan etika tidak diajar di sekolah sebagai keutamaan. Malah, kerja kolektif membersihkan tandas dan menyapu halaman sekolah tidak lagi diamalkan seperti tahun-tahun 50-an dan 60-an.

Konon ia bercanggah dengan hak asasi manusia, bahawa seseorang murid atau pelajar itu tidak boleh dikerah tenaga mereka. Selepas dekad-dekad itu tandas kotor. Budaya bencikan sampah sarap tidak lagi ditekankan. Sifat perangai langgar bahasa, kasar, tidak acuh terhadap disiplin dan faktor-faktor sampingan menampilkan gambaran seolah-olah dunia hanya penting bagi sains, matematik dan bahasa Inggeris.

Beratus ribu yang sudah pulang ke tanah air semenjak merdeka (1957) setelah `dididik’ hidup mereka di UK, Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain meneruskan karier dan cara hidup berasaskan ilmu yang mereka timba. Cara berfikir, cara bertindak dan berinteraksi sebanyak sedikit memberi kredibiliti kepada budaya ilmu kebaratan.

Sama juga dengan mereka yang beribu-ribu pulang dari Mesir , Darul Ulum, Jordan dan lain-lain pusat pengajian Islam. Mereka membawa balik ilmu wahyu, usuluddin, fiqh dan syariat Islam amnya yang mereka pelajari. Sebahagian mereka dipenuhi budaya pengajian yang dilalui di Timur Tengah. Maka jadilah Semenanjung ini sebuah `kawah’ konflik budaya dan politik antara asuhan duniawi Islam di Timur Tengah dan ilmu dunia Inggeris di dunia Barat. Ya, bagaimana dunia pelajaran berupaya memesong sikap dan amalan hidup sebahagian besar rakyat yang menerima pengajaran dan pengajian jurusan masing-masing.

TRAGEDI JAWI

Demikianlah bagaimana ‘tragedi’ menimpa tulisan Jawi. Skrip agama-budaya ini hidup semarak sehingga akhir tahun 1960-an apabila Kementerian Pelajaran Malaysia mula mengendurkan keutamaannya. Tulisan jawi kemudian boleh dikatakan hidup-hidup ikan baung saja kerana amalannya tidak mendatangkan komersial lagi. Padahal masyarakat Tionghoa dan India terus dengan skrip Mandarin dan Tamil mereka. Bukan itu sahaja, akhbar Tionghoa jauh lebih laku daripada akhbar berbahasa Melayu hari ini di Semenanjung dan Sabah-Sarawak.

Melayu dahulu Melayu pencinta alam kerana alam dijadikan mereka sebagai guru. Mereka hormat akan padi, langit, gunung, sungai dan tumbuh-tumbuhan, lautan dan alam sekitar.

Guru yang mengajar alam sebagai guru itu sudah tiada lagi. Pakar yang memandang secara batin juga sudah ditelan zaman.

Pusaka kita, dalam satu pengertian, sudah dimamah bangsa sendiri. Bukan oleh pihak lain. Suasa di tangan orang diigaukan sedangkan emas permata di lembahan sendiri tidak dipedulikan.

Penjajah memang boleh disalahkan sedikit, lantaran mereka mengutamakan bahasa , seni, pakaian mereka dan sebagainya. Tetapi kita punya pilihan- kita boleh memilih bahasa Melayu sebagai bahasa ke depan. Tetapi kita pilih bahasa Inggeris konon bahasa ibunda tak cukup hebat untuk ceduk ilmu atau untuk mencapai matlamat hidup yang lain.

CHINA TOWN, LITTLE INDIA

Dunia tanpa tali, dunia hiburan yang canggih kesemuanya telah menukar isian atau kekosongan budaya kita. Mereka ada Little India sendiri dan pekan China Town sendiri di seluruh pelosok dunia, akhbar tulisan sendiri serta amalan-amalan kemasyarakatan sendiri yang masih kental dalam amalan.

Dapatkah kita tunjukkan bahawa cara hidup kita hari ini (yakni hidup berpekerti dan berbudaya) berupaya dikompas atau ditentukan hala tujunya oleh corak kehidupan kita setakat ini?

Soalan inilah yang amat penting dijawab dengan berani oleh orang Melayu khasnya dan Bumiputera amnya?

Dan sebab itu saya cukup sentimental bila mendengar atau dikhabarkan pemergian selamanya orang-orang lama dan cukup berpengaruh serta besar jasanya kepada kita bangsa Melayu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Saya takut kehilangan mereka ini lagi. Semoga Allah memelihara kesihatan dan amal ibadat mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.