HARI ini, ramai pekerja tidak lagi bimbang tentang tugasan yang tertangguh atau laporan yang belum siap.
Sebaliknya, mereka mula panik apabila capaian internet menjadi perlahan atau aplikasi kecerdasan buatan (AI) gagal berfungsi. Perubahan ini menunjukkan teknologi yang dahulu dianggap sebagai masa depan kini sudah menyerap masuk ke dalam rutin kerja harian.
AI bukan lagi sekadar alat tambahan tetapi sudah menjadi sebahagian daripada cara kerja moden yang membentuk budaya organisasi masa kini.
Daripada menulis emel, menyediakan laporan, menghasilkan slaid pembentangan, meringkaskan minit mesyuarat hinggalah mencari maklumat, hampir semua tugasan boleh disiapkan dalam masa singkat dengan bantuan AI.

Pekerja hari ini tidak lagi memulakan hari kerja semata-mata dengan persoalan “apa yang perlu saya fikirkan? tetapi semakin kerap bertanya “prompt apa yang perlu saya gunakan untuk mendapatkan hasil terbaik?”. Pergeseran ini menandakan perubahan besar dalam cara manusia berfikir, merancang dan melaksanakan kerja.
Perubahan tersebut membuktikan AI melangkaui peranan sebagai alat sokongan teknikal. AI kini membentuk aliran kerja, mempercepat proses membuat keputusan dan mempengaruhi cara manusia menyelesaikan masalah.
Namun, persoalan penting timbul, adakah AI benar-benar menjadikan manusia lebih produktif, atau manusia semakin bergantung kepada teknologi sehingga mengurangkan keupayaan berfikir secara mandiri?
Hakikatnya, AI membawa manfaat besar kepada dunia pekerjaan. Pelbagai kajian antarabangsa menunjukkan AI generatif mempercepatkan tugasan yang melibatkan penulisan, analisis asas dan pengurusan maklumat.
Di Malaysia, kerajaan melaksanakan inisiatif AI at Work 2.0 yang melibatkan kira-kira 445,000 penjawat awam menggunakan Google Workspace bersama Gemini untuk membantu urusan kerja harian.
Projek perintis melibatkan 270 pegawai menunjukkan 97 peratus peserta menjimatkan purata 3.25 jam seminggu, manakala 91 peratus melaporkan peningkatan kualiti kerja.
Data ini menunjukkan AI bukan sekadar trend sementara tetapi sudah menjadi pemacu transformasi kerja sektor awam.
Dalam operasi harian, AI membantu mempercepat penyediaan dokumen, pengurusan emel, analisis maklumat, ringkasan mesyuarat dan pengendalian pertanyaan. Jika dahulu pegawai perlu meneliti ratusan halaman dokumen secara manual, kini AI mampu mengekstrak maklumat penting dalam masa singkat.
Tugasan yang sebelum ini mengambil masa berhari-hari kini dapat disiapkan dalam beberapa jam sahaja, sekali gus meningkatkan kecekapan organisasi secara ketara.
Kajian antarabangsa turut menyokong kesan positif ini. Data menunjukkan penggunaan AI meningkatkan produktiviti dalam tugasan sokongan pelanggan sebanyak 25 peratus, penyediaan dokumen perniagaan sebanyak 50 peratus dan tugasan pengaturcaraan sehingga 125 peratus.
Kajian Biro Penyelidikan Ekonomi Kebangsaan (NBER) pula mendapati produktiviti pekerja sokongan pelanggan meningkat sekitar 14 peratus secara purata apabila menggunakan AI generatif.
Lebih menarik, peningkatan ini lebih ketara dalam kalangan pekerja baharu dan pekerja berkemahiran rendah yang mencatat peningkatan sehingga 34 peratus.
Namun begitu, produktiviti tidak boleh diukur hanya berdasarkan kelajuan kerja. Dalam pengurusan moden, produktiviti turut melibatkan ketepatan maklumat, kualiti keputusan dan keberkesanan proses.
AI mungkin mampu menghasilkan draf laporan dalam beberapa minit tetapi manusia tetap perlu menilai konteks, mengesahkan fakta dan memastikan keputusan yang dibuat benar-benar tepat serta sesuai dengan matlamat organisasi.
Cabaran utama bukan terletak pada teknologi AI tetapi pada cara manusia menggunakannya. Semakin ramai pekerja cenderung menerima jawapan AI tanpa semakan kritikal. Mereka tidak menilai sumber, tidak menyemak kesahihan dan tidak memahami kandungan secara mendalam.
Sikap ini berisiko melemahkan keupayaan berfikir kerana manusia mula menyerahkan proses analisis sepenuhnya kepada mesin.
Kebergantungan melampau ini juga boleh membawa kesan negatif kepada organisasi. AI boleh menghasilkan maklumat yang tidak tepat, analisis yang cetek atau cadangan yang tidak sesuai dengan konteks sebenar.
Jika semua output diterima tanpa penilaian, organisasi mungkin menjadi lebih pantas menghasilkan kerja, tetapi tidak semestinya lebih bijak dalam membuat keputusan.
Ironinya, teknologi yang bertujuan menjimatkan masa kadangkala meningkatkan tekanan kerja. Apabila AI mempercepat penghasilan output, organisasi mula menaikkan jangkaan terhadap kelajuan kerja manusia.
Kajian antarabangsa menunjukkan 77 peratus pekerja merasakan penggunaan AI meningkatkan tekanan kerana mereka perlu sentiasa responsif dan menghasilkan kerja dalam tempoh lebih singkat. Ini menunjukkan produktiviti digital tidak semestinya seiring dengan kesejahteraan pekerja.
Perubahan ini turut mewujudkan jurang generasi dalam tempat kerja. Generasi muda lebih cepat menyesuaikan diri dengan AI kerana mereka membesar dalam persekitaran digital. Mereka lebih fleksibel dan berani mencuba teknologi baharu.
Sebaliknya, generasi lebih senior mungkin mengambil pendekatan lebih berhati-hati kerana mereka menilai risiko dengan lebih mendalam, khususnya dalam aspek keselamatan data dan kerahsiaan maklumat.
Kedua-dua kumpulan ini sebenarnya saling melengkapi. Generasi muda membawa kepantasan adaptasi teknologi, manakala generasi senior membawa pengalaman, pertimbangan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
Kajian juga menunjukkan pasukan kerja yang mempunyai kepelbagaian generasi mencatat prestasi lebih tinggi berbanding pasukan yang homogen. Gabungan ini menjadi kunci kepada penggunaan AI yang lebih seimbang dan berkesan.
Dalam konteks sektor awam, AI perlu digunakan sebagai alat untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, bukan menggantikan nilai kemanusiaan. Banyak urusan masih memerlukan empati, pertimbangan etika dan kebijaksanaan manusia yang tidak boleh digantikan oleh algoritma.
Oleh itu, teknologi perlu dipandu oleh nilai, bukan sekadar kecekapan.
Akhirnya, masa hadapan pekerjaan bukan tentang persaingan antara manusia dan AI, atau antara generasi lama dan baharu.
Masa hadapan sebenar bergantung pada kebijaksanaan manusia dalam mengurus teknologi secara beretika dan bertanggungjawab. AI boleh mempercepat kerja tetapi manusia menentukan arah dan makna kerja tersebut.
AI mungkin semakin pintar dari hari ke hari tetapi manusia tidak boleh berhenti menjadi bijaksana.
Dalam dunia yang semakin dipacu teknologi, cabaran terbesar bukan lagi tentang sejauh mana mesin boleh berfikir tetapi sejauh mana manusia terus menggunakan akal untuk berfikir, menilai dan membuat keputusan yang memberi manfaat kepada masyarakat. – UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Johor Business School, Universiti
Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










