KONFLIK yang berlarutan di Asia Barat bukan sekadar paparan berita yang silih berganti di media massa.
Ia turut memberi kesan ekonomi yang dirasai hingga ke Malaysia, termasuk peningkatan harga barangan, gangguan rantaian bekalan global, ketidaktentuan pasaran serta tekanan terhadap kos sara hidup rakyat.
Sebagai contoh, kenaikan harga minyak diesel sehingga mencecah RM6.72 seliter pada April lalu memberi kesan kepada peningkatan kos harga barang akibat peningkatan kos logistik yang turut mengganggu sistem rantaian bekalan. Keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan kesejahteraan isi rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Di sebalik cabaran ini, terselit satu persoalan penting buat kita: Apakah hikmah yang boleh diambil daripada ujian ini?
Dalam Islam, setiap ujian bukan sekadar musibah, tetapi juga peringatan dan ruang untuk kita bermuhasabah. Konflik yang berlaku membuka mata kita tentang betapa berharganya nikmat yang sering diabaikan seperti keamanan, kestabilan ekonomi dan kecukupan makanan. Apa yang kita anggap biasa, sebenarnya adalah nikmat luar biasa bagi mereka yang diuji.
Lebih daripada itu, konflik ini mengajak kita menilai semula peranan sebagai pengguna Muslim. Dalam kehidupan seharian, aktiviti berbelanja sering dianggap sebagai rutin biasa tanpa nilai spiritual. Namun hakikatnya, dalam Islam, setiap perbuatan termasuk penggunaan adalah sebahagian daripada ibadah sekiranya dilaksanakan dengan niat dan cara yang betul.
Seorang pengguna Muslim tidak seharusnya bersikap boros atau membazir. Firman Allah dalam Surah al-A‘raf, ayat 31 yang bermaksud: “Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang membazir.”
Dalam situasi konflik, kita melihat bagaimana makanan menjadi sesuatu yang amat berharga dan sukar diperoleh. Ini sepatutnya menyedarkan kita agar lebih menghargai rezeki dan mengelakkan pembaziran dalam kehidupan seharian.
Pengguna Muslim juga dituntut untuk memilih yang halal dan tayyib. Konsep halal bukan sekadar mematuhi hukum syarak tetapi merangkumi aspek kebersihan, keselamatan dan etika.
Dalam konteks semasa, ia turut menuntut kepekaan terhadap sumber dan latar belakang sesuatu produk, termasuk sama ada ia terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti yang menindas atau tidak beretika.
Selain itu, penggunaan yang beretika juga menuntut kita untuk lebih bertanggungjawab dalam membuat pilihan. Setiap pembelian mencerminkan nilai dan prinsip yang kita pegang. Dengan menyokong perniagaan yang beretika serta mengelakkan pembelian berlebihan, kita secara tidak langsung menyumbang kepada pembentukan sistem ekonomi yang lebih adil dan seimbang.
Di samping itu, konflik yang berlaku mengajar kita untuk membezakan antara keperluan dan kehendak. Dalam dunia yang dipenuhi budaya konsumerisme, kita sering terdorong memenuhi kehendak tanpa batas.
Namun, keadaan di kawasan konflik menunjukkan bahawa keperluan asas seperti makanan, air dan tempat tinggal adalah perkara paling utama. Kesedaran ini wajar diterjemahkan dalam gaya hidup yang lebih sederhana dan berpada-pada.
Dalam konteks Malaysia yang menikmati kestabilan dan kecukupan sumber makanan, kesedaran ini menjadi lebih penting agar masyarakat tidak leka dengan budaya pembaziran dan kepenggunaan melampau. Sebaliknya, kita perlu membentuk gaya hidup yang lebih berhemah selaras dengan prinsip Islam. Dalam hal ini, perancangan perbelanjaan diri dan keluarga harus dipupuk agar ketidaktentuan masa depan dapat dihadapi dengan lebih bersedia.
Ambillah iktibar dari kisah Nabi Yusuf yang membuktikan pengurusan ekonomi yang bijak, berasaskan ilmu dan data, mampu menyelamatkan sesebuah negara daripada kebuluran dan kehancuran.
Sebagai sebahagian daripada pengguna Muslim yang bertanggungjawab, kita juga mempunyai tanggungjawab sosial. Rasa empati terhadap penderitaan saudara seagama tidak seharusnya terhenti pada simpati semata-mata. Ia perlu diterjemahkan kepada tindakan seperti menyumbang kepada usaha kemanusiaan, menyokong produk yang beretika, serta membuat pilihan penggunaan yang lebih bertanggungjawab.

KEMBALI KEPADA PRINSIP ASAS
Ujian yang menimpa saudara kita di Asia Barat bukan sekadar kisah penderitaan tetapi satu seruan untuk kembali kepada prinsip asas sebagai pengguna Muslim. Kita mungkin tidak berada di medan konflik, tetapi setiap pilihan kita sebagai pengguna adalah cerminan nilai yang kita pegang.
Dalam dunia yang semakin mencabar, pengguna Muslim tidak boleh lagi bersikap neutral. Sebaliknya, kita perlu menjadi ejen perubahan melalui penggunaan yang beretika, berhemah dan berpaksikan prinsip Islam. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Norazlina Abd. Wahab ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) dan Felo Penyelidik Kanan, Institut Tadbir Urus Shariah & Kewangan Islam, Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM).










