Luahan makcik discam RM200,000 - Utusan Malaysia

Luahan makcik discam RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kisah kali ini agak menyayat hati. Barangkali selepas membaca catatan saya kali ini, perasaan anda juga sama seperti saya. Sebak luar biasa. Ia berlaku sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. Saya mengambil penumpang wanita berusia pertengahan 60-an. Melihat nama terpapar pada aplikasi Grab, saya ringkaskan sebagai Makcik A yang mahu pulang ke rumah di Putrajaya dari Cheras.
Sebaik saja dia duduk di bahagian belakang, soalan pertama terpacul adalah “dah lama anak bawa Grab?” Saya jawab, tidaklah lama, baru dua tahun lebih.
“Mesti dapat i-Sinar kan? tanya makcik ini. Saya jawab, mohon namun belum menerima wangnya lagi.
“Nanti dah dapat duit, Jangan bazir, jangan beli benda tak faedah. Jangan jadi macam makcik,” katanya dengan nada sedih.
Justeru, saya pun mula mengorek rahsia bertanya sedikit-sedikit sehingga akhirnya makcik itu bercerita.
“Makcik ini pencen kerajaan. Dah beberapa tahun pencen selepas lebih 35 tahun berkhidmat. Kalau orang lain gembira lepas pencen sebab dapat banyak duit tapi makcik pula lain kisahnya.
“Makcik kena scam. Dekat RM200,000. Makcik dah persoalkan sebab seingat makcik memang tak membuat pesanan barang pun. Bila makcik jelaskan, entah macam mana lelaki tersebut menyambung panggilan itu kepada seorang lagi lelaki.
“Lelaki kedua pula memberitahu makcik yang kononnya makcik ada cukai pendapatan yang belum dijelaskan. Makcik dah beritahu sebelum pencen, semuanya dah selesaikan,’ katanya
Kemudian lelaki itu menyambung pula panggilan ke balai polis, yang kesemuanya dari Sabah.
“Di situ, ‘polis’ mengatakan makcik suspek utama mengedar dadah dan boleh ke tali gantung. Makcik menangis dan cakap tak pernah buat kerja itu dan selama ini makcik, ibu tunggal beri makan anak-anak dengan duit halal,” katanya sebak.
‘Polis’ tersebut kononnya berjanji akan menyelesaikan masalah itu namun dia perlu membuat pembayaran tertentu termasuk akan menjaga keselamatan dia dan keluarganya.
Seakan dipukau, akhirnya makcik A pergi ke bank dan membuat transaksi kepada nombor akaun yang diberi oleh lelaki ketiga.
“Makcik tak tahu apa yang difikir hari itu. Makcik tak telefon anak-anak sebab panik dan takut. Sampaikan sanggup ambil teksi pergi ke bank.
“Masa di bank pula, tak boleh matikan panggilan telefon. Di kaunter, lelaki itu mendengar setiap perbualan dengan juruwang,” katanya.
Kenapa makcik tak telefon anak dulu? Makcik tak tahu ke kisah orang kena scam ni dah banyak berlaku? Kenapa tak terus letak telefon. Macam-macam yang mahu saya luahkan, namun mulut saya terkunci.
“Makcik tak tahu kenapa hari itu jadi bodoh. Tahu ada banyak kes scam, tapi tak tahu kenapa hari itu langsung tak terfikir. Paling sedih sebab hajat nak tunaikan haji tak kesampaian. Itu yang ralat sangat. Sampai sekarang keluarga di kampung tak tahu pasal ini. Yang tahu cuma anak-anak,” katanya lagi.
Kejamnya mereka yang terlibat dalam penipuan ini. Sampainya hati memperdaya seorang tua yang hidupnya membesarkan anak-anak seorang diri.
Sebaik tiba di lokasi tujuan, saya tidak mengambil.duit tambang kerana membayangkan dia ibu saya. Cerita itu melekat di fikiran sehinggakan saya terus pulang ke rumah dengan sebak di dalam jiwa. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN