TAN Sri Annuar Musa merupakan antara orang yang paling konsisten mempertahankan kerjasama UMNO dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN). Malah ada yang menganggap beliau lebih Bersatu daripada UMNO. Sebab itu jawatan beliau sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) digugurkan,
Namun dalam temu bual secara online dengan wartawan Mingguan Malaysia, Aznan Bakar baru-baru ini, selain mengulas tentang darurat, Annuar juga berkata, apa yang dilakukannya adalah demi penyatuan orang Melayu. Katanya, tanpa penyatuan orang Melayu UMNO tidak akan ke mana, dan hanya gabungan UMNO, Bersatu dan Pas sahaja yang akan dapat memastikan penyatuan itu dan akan membawa kepada kemenangan besar dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
MINGGUAN MALAYSIA: Ada pihak mendakwa darurat diisytiharkan baru-baru ini adalah usaha untuk memanjangkan hayat PN?
Annuar: Itu langsung tidak betul. Kalau ikutkan awal dulu kita merancang hendak adakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada bulan 12 (Disember) baru-baru ini. Cadangan kita adalah apabila belanjawan sudah dibentangkan, ia tidak perlu bahas. Selepas belanjawan dua tiga hari cadang bubar Parlimen untuk PRU-15. Kita sendiri pun tidak suka berada dalam keadaan kerajaan yang tidak stabil dan kita yakin dapat membentuk kerajaan yang lebih kuat bila adakan pilihan raya dan rakyat pun tidak suka dalam keadaan macam sekarang.
Tetapi apabila kita nak buat (PRU-15), kes Covid-19 melonjak lebih banyak terutama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Jadi, adakah kita mahu utamakan politik kerana mahu kuatkan kuasa hingga gadai nyawa rakyat? Dalam proses buat PRU akan gadaikan nyawa rakyat. Covid-19 pula ada kesan ekonomi, rakyat hilang kerja, hilang pendapatan. Mana lebih penting? Kuasa untuk diri kita atau menyelamatkan nyawa rakyat dan bantu rakyat? Masalah Covid-19 bukannya kecil ia boleh ranapkan ekonomi negara, boleh sebabkan kematian rakyat yang banyak yang mesti kita selesaikan. Semua ini perlukan kestabilan politik.
Jadi, dari mana datangnya persepsi bahawa darurat untuk panjangkan hayat PN?
Persepsi ini datang dari UMNO yang merupakan sebahagian daripada PN. Sebab ada yang utamakan poltik. Saya akui kerajaan ini (PN) cukup stabil kalau semua orang jalankan tugas masing-masing. Saya tidak dengar ketidakstabilan datang daripada Pas walaupun Pas ada 18 kerusi. Saya tidak dengar seorang pun pemimpin Pas yang acah sana acah sini.
Kita tahu ada 19 wakil rakyat dari Sarawak dalam kerajaan tetapi tidak ada ahli parlimen Sarawak gugat kerajaan. Bukan semua perkara yang mereka berpuas hati, mereka tidak buat tindakan yang jejas ketidakstabilan.
Saya akui yang jejaskan ketidakstabilan ini hanya datang daripada beberapa orang, bukan daripada UMNO secara keseluruhan. Yang datang daripada orang dalam parti UMNO itu pun bukannya konsensus parti keseluruhannya. Konsensus parti jelas iaitu kekal sokong PN, bukan tergesa-gesa adakan PRU15, tetapi sebaliknya beri dukungan kepada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan sokong kerajaan PN. Sokongan pula secara end block bukan buat keputusan seorang diri.
Kenapa tidak ada kesepakatan dalam UMNO untuk memastikan konsensus dicapai itu dilaksanakan?
Ini pendapat peribadi saya, kesepakatan ini sangat bergantung kepada nakhoda. Kalau nakhoda in control, kapal akan belayar pada haluan yang ditetapkan, tetapi kalau nakhoda not in control atau nakhoda sendiri mempunyai banyak hala tuju yang rasmi dan tidak rasmi, maka itulah sebabnya berlaku, ini berkait dengan orang yang menakhodai UMNO.
Kenapa Tan Sri dilihat begitu konsisten menentang mazhab UMNO, DAP dan UMNO Anwar?
Saya tak tahu orang lain masuk UMNO kerana apa? Saya berjuang dalam UMNO kerana dasar-dasar yang diperjuangkan oleh UMNO. Dasar yang diperjuangkan UMNO itu bersendikan Islam. Kemudian UMNO itu juga parti yang menjunjung kedudukan orang Melayu dari segi hak, ekonomi, budaya dan raja-raja Melayu. Tertulis dalam Perlembagaan. Kita boleh bekerjasama dengan banyak parti. MCA dan MIC pun bukan Islam tetapi mereka menerima apa yang UMNO perjuangkan walaupun ada tempat berbeza, tetapi bukan perbezaan pada dasar. Tetapi kalau kita nak kerjasama dengan DAP, tertulis dalam perlembagaannya dia sebuah parti sosialis. Yang kedua, dasar perjuangan mereka sentiasa menafikan apa yang UMNO perjuangkan. Perbezaan falsafah antara UMNO dan DAP bukan rahsia. Semua orang Melayu tahu apabila DAP perintah, komunisme pun dia cuba iktiraf. Pemimpin mereka cuba beri dukungan kapada wira Parti Komunis Malaya.
Itu bercanggah dengan akidah kita, dengan budaya dan dasar kita. Maka kita berjuang bukan sekadar dapat kuasa, tetapi perjuangan kita kena betul. Bagi saya Dap is a no no all the way.
Sementara Anwar (Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) pula dia orang ahli politik yang amal dasar pragmatisme dan begitu liberal sekali. Walaupun dahulu awal perjuangannya dia berjalan atas landasan Islam, tetapi selepas itu kita dapati dia menjunjung dasar DAP. Dia duduk dengan DAP begitu lama berbanding dengan parti lain dan dia pertahan DAP all the way selain perkara-perkara lain.
Jadi, Anwar dan DAP itu pada saya tidak sesuai nak digabungkan dengan perjuangan parti. Pada saya UMNO lebih sesuai bersama dengan Pas dan Bersatu.Yang lebih penting, saya nak lihat supaya agenda penyatuan Melayu dan Islam kembali kuat dan kembali pulih.
Ada mengatakan UMNO kini berpecah kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan menolak kerjasama dengan Bersatu, kumpulan yang berada di tengah-tengah dan kumpulan menerima kerjasama dengan Bersatu? Adakah ini menunjukkan UMNO sekali lagi berpecah?
Ya… jawabnya adalah ya,memang sekarang UMNO berpecah.
Kenapa para pemimpin UMNO membenarkan atau membiarkan perkara ini berlaku?
Saya tidak benarkan. Sebab itu saya melawan. Sebab itu saya ketengahkan idea supaya ahli-ahli UMNO mula berfikir. Masalah sekarang manipulasi ini banyak dibuat pemimpin di atas, Tetapi maklumat sepenuhnya tidak sampai kepada akar umbi. Kemudian kita gunakan akar umbi untuk sokong cara-cara dan idea kita. Pada hal kita tidak menjelaskan sepenuhnya kepada akar umbi UMNO. Akar umbi tidak pernah diberitahu ada cubaan nak kerjasama dengan DAP. Ada perkara-perkara yang kita berunding dengan Bersatu tak disampaikan. Yang disampaikan ialah Bersatu tak kena itu dan ini, jahat dan kita racun fikiran akar umbi secara demikian. Jadi apabila akar umbi buat keputusan ia dalam keadaan salah maklumat. Maka keputusan-keputusan mereka dipandu oleh kehendak orang di atas dan gerakan yang berbeza itu tak sampai ke bawah.
Sebabnya masing-masing pemimpin tidak mahu bertembung atau bercanggah pendapat kerana aliran itu dibawa oleh presiden dan orang kanan sekitar presiden. UMNO parti konservatif. Sebab itu akan ada orang yang terpaksa membakar diri kalau perlu, termasuk saya untuk melontarkan idea yang sedikit berbeza tetapi lama-kelamaan saya percaya akan berlaku perubahan berasaskan kepada kesedaran dan maklumat yang lebih banyak. Orang yang di bawah adalah orang yang jujur ikhlas. Sekarang ini dalam kalangan kami banyak yang sependapat.
Saya, Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri, KJ (Khairy Jamaluddin, Ku Nan (Tengku Adnan Tengku Mansor), Norani (Datuk Seri Noraini Ahmad), Annuar Nasarah (Datuk Shamsul Anuar Nasarah), ramai pemimpin kanan, tetapi kami tidak bersuara kerana menghormati, tetapi apabila jadi seperti sekarang ini, ke hulu tidak ke hilir pun tidak, cuba tarik diri kerana hendak jatuhkan kerajaan sedangkan kita sudah tahu kalau ancam berlebihan kerajaan ada banyak pilihan (untuk bertindak).
Macam sekarang bila dah darurat kita main dengan angka lagi? Angka sudah tidak relevan sekarang ini. Tarik dua ke, tarik tiga ke, tarik semua ke, kerajaan tetap berjalan. Jadi kita dah nak langgar tembok sebab kita bertindak dengan hati yang tidak jujur. Kembali ke pangkal jalan. Belum terlambat, kita masih dalam kerajaan. Harap pemimpin berjiwa besar, jujur dan ikhlas. Jangan terus bawa UMNO ke arah kehancuran. Kalau mahu selamat kena satu padukan orang Melayu. UMNO mesti juara dalam penyatuan bukan juara dalam perpecahan. Saya yakin kalau kita kembali mainkan peranan bersama Pas dan Bersatu dalam menyatupadukan orang Melayu dengan kekuatan orang Melayu kita satu padukan pula rakyat pelbagai kaum, kita akan dapat kejayaan besar.
Bagaimana pula dengan dakwaan UMNO dibuli oleh Bersatu dalam PN?
Antara orang yang mungkin tahu sama kita dibuli atau tidak adalah mereka yang berada dalam kerajaan. Kita hari-hari berinteraksi dengan 12 parti politik lain. Tiap-tiap minggu duduk dalam mesyuarat yang terdiri daripada berbelas parti politik. Kalau kita dibuli oleh mana-mana parti apatah lagi oleh parti Perdana Menteri, orang yang mula-mula sekali terasa kena buli tentulah yang ada dalam kerajaan. Elok panggil tanya, jangan tanya saya, saya dah kena label, tanya orang lain dalam kerajaan. UMNO dan BN ada dekat 20 Ahli Parlimen (dalam kerajaan) adakah betul kena buli? Pada masa sama kita (UMNO) pun tak kurang membuli juga. Misalnya, dulu kita pembangkang, Bersatu itu kerajaan, dia kekal dalam kerajaan, bila dia sertai kita tengok apa jadi? Kita tengok di Johor dulu siapa Menteri Besar? Bersatu kan? Kita masuk, siapa jadi Menteri Besar sekarang? UMNO… Di Melaka siapa Ketua Menteri? Dan sekarang siapa Ketua Menteri? Di Perak siapa dulu jadi Menteri Besar? Sekarang siapa? Jadi kalau kita mahu cakap dia mungkin buli kita dengan kuasa yang ada, kita buli dia dengan jumlah kerusi yang kita ada. Bagi kita itu bukan buli, itu hak kita. Bagi dia pula bila sudah berkawan tetapi ambil, rampas hak kawan punya dia kata kita buli dia.
Kalau begitu dari mana datangnya persepsi buli ini?
Datang dari kelompok dalam UMNO tetapi berada di luar kerajaan. Yang kedua ada kaitan dengan perkara-perkara pendakwaan di mahkamah dan dalam hal ini saya juga sependapat bahawa terasa tekanan kepada kita kerana pendakwaan itu dilihat sebagai terpilih apabila akaun parti kita kena beku, tindakan-tindakan dikenakan kepada penerima dana dan kes-kes lambat nak selesai. Tetapi apabila tengok pada sudut lain walaupun kerajaan sudah berpindah tangan, bolehkah kerajaan campur tangan? Benda sudah diserahkan kepada badan perundangan. Campur tangan dalam proses undang-undang ada kesan yang besar dan buruk. Maka pada saya biarlah proses undang-undang itu berjalan. Kalau kita tidak bersalah lambat laun kita akan dapat melepaskan diri.
Soal kerusi bakal jadi duri dalam daging hubungan UMNO, Bersatu dan Pas?
Soal perebutan kerusi masalah yang menjadi kebimbangan dalam kalangan ahli UMNO. Tetapi macam mana pula kita nak cakap soal berebut kerusi sedangkan berunding pun belum mula? Antara UMNO dan Bersatu belum pernah ada satu pun rundingan secara rasmi. Yang ada hanya antara saya dengan peringkat urus setia Bersatu pernah berlaku sekali. Panel lima orang dari UMNO, lima dari Pas dan lima dari Bersatu pernah berjumpa sekali secara kasual. Belum bincang secara spesifik, kenapa kita nak risau soal kerusi?
Kita kena faham, katalah jika UMNO solo sekalipun akan berebut kerusi sesama sendiri. Soal kerusi tak kan habis, pokok pangkal adalah tangungjawab kepimpinan menyelesaikan agihan kerusi. Jangan anggap kalau kita tidak lagi dengan Bersatu, tiada lagi dengan pas, masalah agihan kerusi akan selesai.
Dengan parti komponen sesama sendiri kita pun di beberapa tempat berlaku krisis, bergaduh dan sebagainya. Jangan bimbang, soal kerusi ini satu perkara yang wajib kita duduk dan selesaikan. Yang penting strategi. Apa guna dapat bertanding banyak kerusi tetapi menang sikit? Di Pilihan Raya Negeri Sabah, UMNO patut bertanding 27 kerusi sahaja, tapi akhirnya bertanding di 41 kerusi. Sedangkan Bersatu di 27 kerusi menang 17. Kita bertanding 40 lebih kerusi tetapi menang 14. Jadi, bukan soal bertanding banyak kerusi. Kita kena menang banyak kerusi.
Kenapa Tan Sri masih kekal bersama UMNO walaupun dilabel orang Bersatu dan jurucakap PN?
Orang yang tuduh saya itu kerana dia ada hasrat nak buat lain daripada yang parti putuskan. Saya menjadi penghalang kerana kekal pegang kepada keputusan parti. Saya diarahkan oleh presiden untuk menyusuli tindakan-tindakan selari dengan keputusan parti iaitu no DAP no Anwar. Bukan saya yang putuskan. Satu lagi yang parti putuskan end block iaitu semua buat keputusan untuk sokong Tan Sri Muhyiddin dan sokong PN serta sama-sama dukung kerajaan. Semua itu saya buat. Yang jadi masalah adalah beberapa orang yang bawa idea baharu yang tidak pernah diluluskan oleh parti setakat hari ini termasuk nak sokong Anwar. Saya tahu mereka itu kawan-kawan rapat Anwar. Jadi, orang macam saya dituduh walaupun saya pertahan dasar parti.
Di mana yang dikatakan saya ini mirip Bersatu? Kecuali dalam satu perkara iaitu Bersatu dengan UMNO jangan berpecah. Bukan saya hendak masuk Bersatu, tetapi saya nak UMNO kuat. Pegangan saya UMNO, Bersatu dan Pas adalah teras penyatuan orang Melayu dan saya yakin kalau ketiga-tiga parti ini bekerjasama, kita akan menang besar dalam PRU akan datang.
Ketidakstabilan politik juga sumbang kepada darurat
Ada mengecam kerajaan kerana isytihar darurat untuk pertahankan PN?
Apa yang kita perlu fahami adalah dalam perlembagan negara kita ada peruntukan tertentu yang memang telah disediakan untuk membolehkan negara diurus dalam keadaan berbeza-beza. Apa yang berlaku sekarang adalah situasi yang termasuk dalam ruang lingkup peruntukan yang ada, cuma dalam bentuk yang kita belum pernah lalui.
Situasi sekarang kebetulan wujud pertembungan beberapa faktor yang boleh ganggu kestabilan, kehidupan ekonomi dan keselamatan rakyat. Dari segi politik kerana pertukaran kerajaan dan kerajaan memerintah mempunyai majoriti nipis menyebabkan ada pihak ambil kesempatan untuk cetus ketidakstabilan.
Kebetulan ketidakstabilan ini berlaku ketika negara dan dunia dilanda Covid-19. Ada pertalian. Kalau orang kata darurat ini Covid sahaja, pada saya tak tepat. Ia macam musim banjir, apabila hujan lebat pada masa sama air pasang, maka jadi banjir lebih besar.
Datang Covid-19 yang luar biasa memang sukar dikawal, pada masa sama kerajaan bertanggungjawab untuk kawal Covid-19 itu sendiri mengalami ketidakstabilan kerana tindakan pihak tertentu. Kalau tahu latar belakang ini kita akan fahami kenapa kerajaan pilih salah satu daripada jalan keluar untuk elak mudarat lebih besar.
Politik turut menjadi punca pengisytiharan darurat?
Kedua-duanya saling betindak-balas. Kalau ketidakstabilan politik sahaja ia boleh diselesaikan secara politik. Kalau Covid-19 sahaja dan selagi kerajaan stabil ia boleh diselesaikan, tetapi apabila hujan lebat dan air pula pasang serentak maka banjirnya jadi terlalu besar dan kita perlu satu penyelesaian.
Banyak orang yang yang tidak terlibat dalam menguruskan Covid-19 tidak dapat faham darurat berlaku kerana Covid-19 tetapi mereka kata bukan Covid-19 tetapi kerana mahu selamatkan Perdana Menteri.
Ada yang skeptikal tentang pengisytiharan darurat?
Ini bergantung kepada keikhlasan dan kejujuran. Dalam keadaan sekarang kena kurangkan politik. Tidak boleh segala-galanya mahu dipolitikkan. Ini soal keselamatan dan nyawa. Kalau ia hanya berlaku dalam negara kita sahaja boleh lah nak kata kita reka-reka cerita. Ini pandemik global, satu dunia alaminya.
Sebelum diisytihar darurat adakah dibincangkan secara teliti dalam Kabinet?
Sebelum perkara nak disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, undang-undang menyatakan ia mestilah satu nasihat yang datang daripada kerajaan iaitu Kabinet. Dan bukan sekali dua malah sudah rujuk pakar dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Hampir lapan bulan bermesyuarat setiap hari.
Ia bukan perkara mudah, bukan datang dari idea Perdana Menteri. Ia datang dari nasihat pakar yang memberikan pilihan-pilihan untuk Perdana Menteri buat keputusan. Menteri Besar dan Ketua Menteri turut terlibat dalam perbincangan. – Mingguan Malaysia











