Kolum Seram
“Pertama kali aku tengok kejadian macam ini…” bisik Lukman perlahan. Saya dan Hazli sekadar mengangguk. Kami faham apa yang tersirat di fikirannya ketika itu.
Sebenarnya saya dan Hazli juga terkejut dan tidak pernah menduga atas apa yang berlaku, namun sebagai orang yang dipertanggungjawabkan mengurus jenazah tidak molek pula kalau kami bercerita atau membuka aib si mati. Biarlah itu antara dia dengan Allah SWT.
Memang pada awalnya saya juga terkejut. Saya berbisik tanya Hazli. Betul ke dia sudah mengukur tubuh jenazah sebelum dia potong kain kafan tersebut. Jawabnya, dua kali dia ukur dan memang itulah ukuran yang dia dapat. Tapi bila sampai waktu hendak digunakan lain pula jadinya. Kain yang telah siap diukur dan dipotong tidak cukup panjang untuk membalut jenazah.
Saya percaya pada Hazli. Ikutkan dia bukannya baru buat tugas ini. Dia cukup arif. Rasanya sudah lebih lima tahun dia menguruskan jenazah. Tak mungkin dia silap ukur atau silap potong.
Lagipun kebiasaannya dia akan ukur sebanyak dua kali dan lebihkan hampir satu hasta panjang kafan tersebut sebelum dipotong. Jadi saya tahu ini bukan silapnya. Pasti ada yang tidak kena dengan jenazah ini.
Akhirnya dengan pertolongan Haji Saari dapat juga kami uruskan. Namun cerita tersebut tidak tamat begitu sahaja. Kini timbul pula cerita lain. Cerita bab jenazah tak muat untuk dimasukkan ke dalam keranda pula.
Menurut Murad yang ditugaskan membuat keranda, dia sudah ambil ukuran secukupnya sebelum mulakan tugas gergaji papan tadi, tapi bila jenazah mahu dimasukkan ke dalam keranda tiba-tiba tak muat pula. Pelik! Takkan jenazah boleh berubah saiz dalam sekelip mata? Dia juga bukannya baru buat kerja ini.
Boleh dikatakan hampir semua waris si mati di kampung ini minta dia uruskan keranda. Bab-bab pertukangan kayu ini memang dia cukup mahir. Dia juga sama seperti Hazli. Setiap keranda yang dia buat pasti akan dilebihkan sejengkal ruang di bahagian kepala dan kaki supaya mudah memuatkan jenazah.
Sekali lagi Haji Saari membantu. Alhamdullillah, dengan izin Allah SWT akhirnya jenazah dapat dimasukkan ke dalam keranda walaupun sekadar cukup-cukup muat.
Selepas jenazah dikebumikan dan selesai talkin dibacakan, tiba-tiba seorang pemuda datang berjumpa Haji Saari.
“Boleh tak kita gali balik kubur ini?” tanya pemuda tersebut yang merupakan saudara arwah.
Kami terdiam sambil berpandangan. Dalam hati terfikir kenapa pula pemuda ini bersungguh-sungguh minta supaya kubur tersebut digali semula.
“Nak gali balik sebab apa pula?’ tanya Hazli kehairanan.
“Macam ini, kunci kereta saya ada dalam kubur. Jatuh masa turunkan jenazah tadi,” jawabnya berterus terang.
Kami berpandangan sekali lagi. Kalau kunci rumah itu mungkin boleh diampunkan lagi, tapi kalau kunci kereta memang masalah. Kena fikir dua tiga kali juga.
“Awak yakin yang kunci itu jatuh dalam kubur,” tanya saya ingin kepastian.
Lelaki tersebut mengangguk. Katanya, dia memang yakin kunci tersebut jatuh ke dalam keranda semasa membantu turunkan jenazah. Menurutnya, memang dia terfikir hendak ambil, tapi disebabkan keadaan yang kelam kabut tadi terus dia terlupa.
“Kalau betul macam itu memang tak ada masalah untuk gali balik, tapi apa-apa hal pun kena minta persetujuan adik-beradik dan ahli keluarga arwah yang lain dulu. Kalau mereka setuju okeylah,” ujar Lukman lagi.
Haji Saari segera memanggil keluarga arwah yang kebetulan masih berada di situ. Selepas perbincangan dibuat mereka akhirnya bersetuju. Lalu tanpa berlengah, kubur tadi digali semula.
Hampir setengah jam menggali, papan keranda mula kelihatan. Beberapa pemuda yang menggali kubur tadi lantas memunggah tanah-tanah yang berada di atas keranda. Perlahan-lahan, papan yang menutup jenazah dibuka.
Namun sebaik papan keranda yang menutupi jenazah diangkat keluar, semua yang berada di situ terdiam dengan mulut terlopong. Mereka semua kaget tanpa sepatah kata. Apa yang disaksikan memang cukup mengejutkan.
Dengan jelas kelihatan lapisan pertama kain kapan yang membalut tubuh jenazah sudah terbakar seolah dimakan api. Kain tersebut hangus di beberapa bahagian.
Semua yang berada di situ beristighfar panjang. Tak sangka mereka menyaksikan kejadian yang tidak pernah difikirkan akal seperti ini. Tidak sampai setengah jam jenazah dikebumikan tetapi kain kapannya sudah hangus. Adakah jenazah ini sudah terima azab dan seksaan kubur? Saya tiada jawapannya.
Waris-waris dan adik beradik arwah yang masih berada di situ kelihatan sugul dan ada mengalirkan air mata. Mereka tak sangka akan melihat kejadian ini di hadapan mata ketika itu.
Saya hanya terfikir adakah ini ‘bahagian’ atau balasan dari Allah SWT untuk arwah. Apa yang dilakukan arwah selama hayatnya memang saya tidak tahu. Saya juga tidak mengenali arwah secara rapat. Ingin bertanya kepada waris serta adik beradik arwah yang lain rasa tidak manis pula.
Kejadian tersebut benar-benar menginsafkan saya dan sesiapa yang menyaksikannya. Saya ceritakan kisah ini pula bukanlah hendak mengaibkan keluarga arwah atau si mati, niat saya supaya pengalaman yang saya saksikan ini menjadi pengajaran kepada kita semua.
Sesungguhnya janji Allah tentang balasan di dunia dan di alam kubur itu adalah benar. Saya sudah saksikan dengan mata kepala sendiri kejadian ini. Memang cukup menginsafkan.
Firman Allah, surah Ghafir, ayat 46:“Mereka didedahkan kepada bahan api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya”. (Surah Ghafir: 46)
Saya dalam cerita ini ialah Mohd. Bakri Ismanon, 51, yang kini menetap di satu daerah di Perak Tengah. Menurut beliau kisah yang diceritakan ini berlaku pada penghujung 90-an ketika dia bertugas di salah sebuah jabatan kerajaan di utara tanah air. Menurutnya ketika itu dia merupakan Ahli Jawatankuasa surau daerah berkenaan, dan bertanggungjawab menguruskan hal-hal berkaitan kematian di kariah tersebut.










