PETALING JAYA: Retorik politik berkenaan Proklamasi Darurat terus dimainkan oleh kelompok partisan yang pada hakikatnya gagal memainkan peranan ketika negara sedang menghadapi
pandemik Covid-19.
Sama seperti tarikh perolehan vaksin, perdebatan hangat dibincangkan dalam platform media sosial, walhal menteri yang bertanggungjawab sudah menjelaskan panjang lebar.
Jika hak kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dijadikan sandaran, janganlah sehingga hilang rasa hormat kepada institusi Raja Berperlembagaan.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, setelah hampir seminggu darurat berjalan, pertikaian berhubung kewajaran darurat, keabsahan eksekutif dan kuasa Yang di-Pertuan Agong sepatutnya tidak lagi kedengaran.
Beliau berkata, perkenan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah mutlak dan tidak boleh dicabar di mahkamah.
Ujarnya, jika salah guna kuasa oleh barisan eksekutif yang menjadi persoalan, institusi kehakiman masih boleh berfungsi sebagai elemen semak dan imbang.
“Darurat bukan lesen kepada kerajaan melakukan sesuka hati tetapi demi untuk menjaga kemaslahatan negara, bertindak dalam kadar segera dan berjaya mengatasi rintangan.
“Apabila Proklamasi Darurat dibuat, semua kuasa sebenarnya terpahat kepada Seri Paduka. Terpulanglah kepada Baginda sama ada masih mahu mendapat bantuan dari Jemaah Menteri ataupun tidak. Baginda mempunyai kuasa juga untuk membubarkan eksekutif atau melantik orang lain melaksana fungsi eksekutif tersebut,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian menolak rasional serta alasan-alasan yang telah diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari Covid-19.
Dalam kenyataan bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, tindakan menggantung Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat.
Terbaharu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan Muhyiddin menggantung Parlimen dengan pengisytiharan darurat didakwa tidak sah, tidak berperlembagaan dan mesti dicabar.
Dalam pada itu, pengamal undang-undang, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos menjelaskan, berdasarkan konsep constitutional supremacy seperti diamalkan di negara ini, darurat boleh dicabar jika ia tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan.
Namun, katanya, proklamasi kali ini bertepatan dengan undang-undang iaitu Artikel 150 (2B) yang membenarkan Seri Paduka mengisytiharkan darurat.
“Ada yang mentafsir Artikel 150 (3) bahawa kononnya artikel tersebut memerlukan pengesahan Parlimen sebelum ia berkuat kuasa.
“Saya tidak setuju dengan pendekatan ini, pada saya Artikel 150 (3) membolehkan Parlimen untuk membatalkan proklamasi tersebut atau apa-apa ordinan yang diluluskan apabila Parlimen bersidang nanti, itu sahaja,” ujarnya. – UTUSAN










