BUTTERWORTH: Masalah capaian internet yang dihadapi penduduk Pulau Aman di sini bukan sahaja menyukarkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), malah menyebabkan pelajar khuatir keciciran dalam pelajaran.
Bagi pelajar tingkatan empat, Nur Alea Soffiyyah Ahmad Hanif dan Hanis Syuhada Rozali, kedua-duanya tidak berputus asa berusaha mendapatkan capaian internet yang baik sebelum bermulanya sesi pembelajaran.
Lebih menyukarkan, Nur Alea terpaksa berjalan kaki hampir 10 minit ke hujung tanjung pulau semata-mata untuk mendapatkan liputan internet yang baik.
“Di rumah, saya menggunakan telefon pintar ayah yang dijadikan hotspot dan diletakkan di tingkap supaya isyarat talian lebih kuat.
“Sekiranya gagal, saya akan ke hujung tanjung di tepi laut untuk mengikuti sesi kelas menerusi Google Meet.
“Sejak pembelajaran dalam talian dilaksanakan tahun lepas, banyak kali juga saya gagal menghadiri kelas dalam talian kerana isyarat talian agak teruk, namun, mujurlah cikgu memahami situasi saya di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, ada kalanya berlaku kesukaran untuk menumpukan perhatian tatkala pembelajaran berlangsung.
“Adik saya keempat-empatnya lelaki jadi kadang-kadang mereka bising dan masuk ke dalam bilik semasa kelas berlangsung menyebabkan saya sukar untuk fokus,” katanya.
Bagi Hanis Syuhada, dia menggunakan dua telefon pintar yang mana salah satunya sebagai rujukan nota dalam talian manakala satu lagi sesi PdPR.
“Sebelum ini, saya menggunakan data dan disebabkan isyarat yang sangat lemah, talian pernah terputus ketika saya sedang menyampaikan pembentangan subjek Sains.
“Pernah juga guru subjek Matematik menghantar video tutorial trigonometri menerusi WhatsApp yang memakan masa hampir dua jam untuk dimuat turun.
“Bagaimanapun, masalah capaian internet yang dihadapi berkurangan sedikit selepas saya melanggan jaringan tanpa wayar (WiFi) di rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pulau Aman, Saidi Abd. Majid berkata, masalah liputan telekomunikasi bukan isu baharu di kawasan tersebut.
“Kita risau sekiranya ada anak-anak yang mahu belajar di waktu malam dan terpaksa keluar rumah untuk mendapatkan akses internet.
“Kita mohon operator telekomunikasi naik taraf liptan sedia ada untuk membantu memudahkan penduduk yang rata-rata menggunakan telefon pintar,” katanya. – UTUSAN








