Warga Britain dilarang kembali ke Malaysia - Utusan Malaysia

Warga Britain dilarang kembali ke Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membenarkan kemasukan semula semua pelajar antarabangsa ke negara ini kecuali Britain.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, larangan ke atas Britain dibuat susulan penularan varian baharu Covid-19 lebih bahaya berbanding sebelumnya.

“Sekatan ini sebenarnya hanya bersifat sementara dan negara kita turut mengambil langkah pencegahan seperti banyak negara lain ke atas pelawat Britain,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelajar selain dari Britain dibenarkan masuk untuk sesi pembelajaran 2021 dan akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari ini, namun dimestikan menjalani ujian saringan tiga hari sebelum berlepas dari negara masing-masing.

“Pelajar ini kena buat ujian saringan tiga hari sebelum berlepas dan sekali lagi sejurus tiba di pintu masuk antarabangsa serta kuarantin wajib di pusat diwartakan selama 10 hari,” katanya.

Kos ujian itu dan kuarantin kata Ismail Sabri lagi, perlu ditanggung pelajar terbabit manakala prosedur operasi standard akan diumumkan oleh kementerian tersebut dalam masa terdekat.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 274 kertas siasatan dibuka pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu berita palsu berkaitan wabak Covid-19.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 137 kes masih dalam siasatan, 12 kes diberi notis amaran dan 90 kes diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut.

Selain itu ujar Ismail Sabri, sejumlah 35 kes telah didakwa di mahkamah dengan 21 kes yang terlibat didapati bersalah manakala sebanyak 13 lagi dalam proses perbicaraan.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 122 individu ditahan pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN