Seleweng dana?... Zoo Negara Jawab - Utusan Malaysia

Seleweng dana?… Zoo Negara Jawab

Timbalan Pengarah Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana. -MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA wartawan Mingguan Malaysia melalui kawasan kandang harimau di Zoo Negara, mata terkunci melihat betapa kurus haiwan itu. Timbul tanda tanya, adakah tidak cukup makan? Atau faktor usia yang membuatkan haiwan di situ kelihatan begitu.

Pandangan tersebut membawa dua wartawan, ALIF FADLI MOHD. SORI dan SITI ATHIRAH DZULKIFLY dan jurufoto, MOHD. AMIR KHALID bertemu Timbalan Presiden Zoo Negara, ROSLY @ RAHMAT AHMAT LANA untuk bertanya terus kebimbangan itu.

Malah, isu penyelewengan dana sumbangan yang menjadi buah mulut segelintir pihak apabila Zoo Negara memohon sumbangan ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana Mac tahun ini juga menimbulkan keraguan.

Kemudian, persepsi negatif pula mula menyelimuti nama baik Zoo Negara apabila pendakwah, Ebit Lew sendiri turun padang menyumbang makanan. Benarkah haiwan tidak dijaga dengan baik? Adakah pandemik memberi impak besar terhadap pengurusan penjagaan haiwan? Zoo Negara, ada jawapannya.

HAIWAN KURUS, TIDAK MAKAN

MINGGUAN MALAYSIA: Jika diperhati, ada haiwan dalam keadaan kurus contohnya harimau putih. Mengapa keadaan itu boleh berlaku?
Haiwan juga seperti manusia. Jika terlalu gemuk atau obesiti, haiwan juga berpotensi berhadapan masalah gula dan sebagainya. Kebanyakan haiwan di sini kami pantau berat badan dan tahap kesihatan.
Malah, diet pemakanannya juga kami pantau sesuai dengan usia dan spesies demi kesihatan mereka. Sebagai contoh harimau putih. Saya tidak lihat haiwan itu begitu kurus. Saiz itu bersesuaian dengan usia kerana sudah tua.

Keadaan itu membuka ruang untuk Zoo Negara dikecam seolah-olah tidak pandai menjaga haiwan. Adakah pandemik memberi kesan kepada sumber makanan atau benar penjagaan pihak Zoo Negara mempunyai masalah?
Kita tidak boleh lihat pada satu haiwan sahaja. Gajah dan zirafah sebagai contoh masih sihat serta berisi. Memang pada awal PKP dilaksana, kami mempunyai masalah mendapat sumber makanan.
Sebagai contoh, kami tidak dapat bekalan daging import. Jadi, kami terpaksa memberi makan ayam sebagai ganti. Ada haiwan seperti singa tidak berminat makan ayam. Jadi makan sikit sahaja. Sebab itu kurus.
Kita menjaga 4,000 haiwan di sini. Tidak adil mengecam kami kerana harimau dan singa sahaja yang kurus kerana kekurangan sumber makanan sebelum ini. Walaupun kurus tetapi sihat. Haiwan lain semua sihat dan sesuai dengan berat badan ideal.

Benarkah panda, Xing Xing dan Liang Liang memerlukan kos yang amat tinggi berbanding memelihara haiwan lain?
Bila bercakap soal kos, bagi saya semua haiwan sama. Namun untuk panda, kos makanan dia sahaja sudah mencecah RM6,000 sebulan. Panda ini hidupnya makan dan tidur sahaja. Malah sistem penghawa dingin juga perlu dipasang 24 jam.
Saya ubah jadual untuk tidak memberi panda makan secara serentak. Kalau tidak, nanti pengunjung datang, dua-dua terlentang tidur. Panda juga tidak boleh diletakkan bersama. Dalam setahun, hanya tiga hari itu pun dalam 10 minit sahaja panda akan mengawan.
Selepas itu panda tidak boleh diletakkan bersama, kalau tidak bergaduh. Begitu juga anak panda. Apabila berusia setahun, kita perlu pisahkan anak dan ibu. Jikalau tidak, ibu boleh mencederakan anaknya.

PENYELEWANGAN DANA?

Apakah sumber pendapatan utama? Adakah datang dari hasil jualan tiket atau mengharapkan sumbangan dan dana daripada pihak-pihak tertentu untuk survival?
Sumber utama kami pastinya jualan tiket. Memang diakui kehadiran pengunjung bergantung mengikut ‘musim’ Terutama apabila PKP dilaksana. Kami tidak mempunyai sumber utama dan mengharapkan simpanan yang ada untuk menguruskan Zoo Negara.
Pendapatan sedia ada hanya cukup-cukup makan juga sebelum ini. Kami memerlukan sekurang-kurangnya RM1.5 juta sebulan untuk kos emolumen pekerja, makanan haiwan, penyelengaraan dan bayaran utiliti.
Jadi bayangkan, semasa PKP dilaksana kami cuma ada RM1 juta sahaja dalam simpanan. Bila zoo ditutup, mana kami hendak cari pendapatan? Jadi kami mula gerakkan memohon sumbangan orang awam untuk kelangsungan survival Zoo Negara pada Mac.

Berapa banyak sumbangan diterima? Mencukupi untuk survival?
Apabila kami menguar-uarkan permohonan sumbangan, sambutan amat menggalakkan. Kami berjaya mengumpul RM10 juta hasil sumbangan orang awam, syarikat swasta dan bank. Malah, kerajaan pun menyumbang RM1.3 juta.
Dana yang diterima membolehkan kami terus bernafas sepanjang PKP dilaksana. Namun, bukit kalau ditarah sikit demi sikit akan landai juga. Jadi sekiranya tiada pengunjung, kami akan parah.

Tanggapan negatif pasti wujud apabila Zoo Negara meminta bantuan dan sumbangan untuk survival. Seolah-olah ada kepincangan terutama daripada aspek pengurusan wang?
Zoo Negara sebuah badan profesional walaupun kami adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kami lengkap dengan audit dan perbendaharaan yang mengendalikan kewangan Zoo Negara setiap bulan. Kami juga melantik badan bebas untuk monitor dan audit kewangan kita. Kami tidak ada masalah berhubung pengurusan kewangan.

Adakah terbuka jika ada pihak meminta data audit kewangan? Sementelah ramai pihak seperti sengaja mencetuskan tanda tanya tentang status kewangan Zoo Negara yang dianggap pincang?
Kami terbuka. Kami mempunyai data dan dokumen lengkap sekiranya ada pihak yang mahu ‘mengkaji’bagaimana kami menguruskan kewangan. Malah, data akaun kami juga perlu dihantar kepada badan berkenaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk pantauan.

Isu ini sedikit sebanyak menimbulkan keraguan masyarakat sehingga mencetuskan spekulasi tidak telus dalam mengendalikan wang?
Itu hanya spekulasi yang dicipta segelintir pihak yang bagi saya, mempunyai isu peribadi dengan Zoo Negara.
Sebagai contoh, kami pernah berhadapan isu sistem tiket yang pincang. Itu adalah hasil aduan bekas pekerja yang sudah 17 tahun meninggalkan Zoo Negara.
Kami telus dalam mengendalikan kewangan baik pendapatan sendiri atau sumbangan pihak-pihak yang prihatin. Oleh itu, kami amat terbuka jika ada pihak yang berminat untuk memantau audit kewangan kami. Itu bukan satu masalah.
Kerajaan juga pernah meminta kami untuk menyerahkan hasil audit kewangan dan kami sendiri berikan dokumen lengkap. Kami juga sudah bentangkan dan pihak kementerian berpuas hati. Kami tidak boleh tutup mulut semua yang tidak berpuas hati.

Dari sudut pandang berbeza, apa sahaja isu tidak kira baik atau tidak memberi publisiti percuma sekali gus menarik pengujunjung. Adakah Zoo Negara menerima itu?
Bak kata orang, publisiti murahan. Macam ahli politik. Usik orang itu, usik orang ini. Alih-alih, lain dapat limelight. Tetapi apa juga kontroversi kami bersedia. Terutama dari segi pengurusan wang. Tidak ada masalah.

EBIT LEW

Apabila Ebit Lew memberi sumbangan, segelintir masyarakat mula memandang serong. Zoo Negara tidak memberi makan kepada haiwan sehingga memaksa orang luar menyumbang makanankah?
Ketika Ebit mahu memberi sumbangan, kami menerimanya dengan tangan terbuka. Bayangkan dia membawa 200 kilogram daging segar. Kami sendiri tidak mampu memberi daging segar sebaliknya hanya daging sejuk beku.
Tiada istilah kami tak bagi makan. Kami menjaga haiwan lebih baik daripada menjaga seorang manusia. Setiap hari kami akan memeriksa tahap kesihatan melalui najis dan memastikan haiwan sentiasa dipantau terutama dari aspek kesihatan dan pemakanan.
Saya tahu pengikutnya ramai. Jadi apabila dia tampil memberi sumbangan, ada yang positif dan pastinya ada juga yang negatif. Malah, pelbagai kecaman diterima Zoo Negara sehingga kementerian sendiri bertanyakan ke mana ‘hilang’bantuan one-off RM1.3 juta yang diberi sebelum ini.

Bagaimana mengendali isu dan kontroversi seperti itu? Bukankah itu sedikit sebanyak mencalarkan nama baik Zoo Negara?
Kami adalah organisasi yang berdiri di atas kudrat sendiri. Bukan sebuah badan diterajui kerajaan. Kami lihat isu tersebut dari sudut positif. Apabila kontroversi itu wujud, ramai pihak hadir memberi bantuan.
Sebelum ini kami berjaya mengumpul sekurang-kurangnya RM1juta sumbangan tetapi setakat ini, dana sumbangan cukup menggalakkan. Kami lihat itu sebagai sesuatu yang mampu membantu Zoo Negara menguruskan haiwan dengan lebih baik.
Apabila kementerian bertanya ke mana ‘hilang’ dana sumbangan, kami menyerahkan semua dokumen sebagai bukti. Kami tidak bimbang sekiranya ada persepsi negatif kerana kami menjalankan tanggungjawab profesional dan amanah.

MISI VISI 2021

Tahun 2021, apa pembaharuan yang bakal dilakukan untuk terus menarik minat pengunjung?
Kami masih dalam perancangan untuk mewujudkan zoo maya. Namun, kosnya agak tinggi dan mencecah jutaan ringgit. Kami tidak mahu nak buat jadi kami perlu melantik syarikat luar untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV). Itu sahaja sudah menelan kos RM3 juta.
Idea itu dilihat mampu memberi kelebihan kepada pelajar dan pencinta haiwan yang mahu melihat tumbesaran haiwan secara maya. Mereka boleh menonton haiwan kesayangan di Youtube setiap hari. Kami lihat itu satu inisiatif yang cukup baik.

Pandemik dan pelaksanaan PKP memberi impak cukup besar terhadap ekonomi sehingga memaksa beberapa syarikat besar memberhentikan pekerja. Adakah Zoo Negara mempunyai perancangan sama?
Kami akan bertahan. Setakat ini tiada perancangan untuk membuang mana-mana pekerja. Cuma kami mengurangkan elaun secara sama rata. Sekiranya Zoo Negara beroperasi dan menerima pengunjung, kami okay.
Demi kelangsungan, elaun dan perbelanjaan 137 kakitangan terpaksa dikurangkan supaya semua boleh bekerja. Memang tidak dinafikan, ada syarikat yang terpaksa membuang pekerja. Tetapi setakat ini, kami tidak merancang itu. – MINGGUAN MALAYSIA

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN