RM200 juta untuk Jakim, pejabat mufti - Utusan Malaysia

RM200 juta untuk Jakim, pejabat mufti

DEWAN Rakyat diberitahu peruntukan RM200 juta dalam RUU Perbekalan 2021 turut merangkumi keperluan untuk Angkatan Pertahanan Awam dan agensi-agensi kerajaan. – UTUSAN/AHMAD SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (JPM) menafikan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhubung peruntukan berjumlah RM200 juta untuk melantik pegawai kontrak lantikan politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat jawatan kuasa bagi JPM menjelaskan, dana berke­naan adalah untuk Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pejabat mufti, Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Tiada pelantikan kakitangan kontrak lantikan politik menggunakan peruntukan ini. Jumlah RM200 juta bagi tahun 2021 tersebut adalah untuk Angkatan Pertahanan Awam, Jakim, pejabat mufti, Mampu, Nadma dan lain-lain,” katanya di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Anwar ketika berbahas mencabar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bangun memberikan penjelasan berkenaan peruntukan bernilai RM200 juta di bawah JPM yang didakwa bakal digunakan bagi melantik pegawai kontrak lantikan politik.

Katanya, angka sebesar itu tidak sepatutnya disediakan bagi tujuan berkenaan ketika banyak rakyat yang menganggur akibat pandemik Covid-19.

Beliau turut menyentuh pelantikan duta-duta khas yang didakwa tugasnya bertindih dengan Kementerian Luar dan duta-duta besar sedia ada.

Menjawab mengenai persoalan itu, Mohd. Redzuan berkata, pelantikan duta-duta khas adalah amalan biasa malah pentadbiran terdahulu juga melaksanakan atas faktor keperluan strategik negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN