PETALING JAYA: Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic) melancarkan Kad Kredit-i Nadi Mastercard, iaitu produk kad kredit patuh Syariah baharu yang menawarkan penyelesaian kewangan inklusif dan mudah bagi menyokong keperluan harian rakyat Malaysia.
Langkah itu membolehkan pengeluar kad kredit terbesar di Malaysia tersebut menawarkan akses kemudahan kredit yang lebih telus, teliti dan mudah diakses seiring dengan permintaan pasaran terhadap instrumen kewangan yang praktikal serta mampu milik.
Berbeza dengan struktur kadar keuntungan bertingkat konvensional yang lazimnya boleh mencecah sehingga 18 peratus setahun, kad kredit baharu ini memperkenalkan kadar keuntungan tetap pada tahap 14 peratus setahun.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, pengenalan produk tersebut mencerminkan inovasi bermatlamat yang diterajui bank bagi menyediakan penyelesaian berteraskan nilai berdasarkan keperluan sebenar pelanggan.
“Sebagai ‘nadi’ kepada kehidupan kewangan harian, ia direka untuk meluaskan akses kepada pembiayaan secara bertanggungjawab dengan cara yang mudah diakses, mampu milik dan bermakna.
“Kami kekal komited untuk membentuk masa depan perbankan yang memberikan impak mampan kepada komuniti yang kami santuni,” katanya dalam kenyataan.
Selain kadar keuntungan tetap, Kad Kredit-i Nadi Mastercard turut menawarkan kelebihan bersaing lain termasuk tiada caj berkompaun serta pengecualian yuran tahunan bagi membantu pemegang kad mengurus perbelanjaan dengan lebih yakin.
Pemegang kad juga bakal menikmati akses kepada ekosistem kad Maybank yang luas, merangkumi pelbagai manfaat eksklusif serta lebih 1,000 keistimewaan pedagang di seluruh rantau ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Islam merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Mohamad Yasin Abdullah berkata, produk kewangan sepatutnya mudah difahami bagi memperkasa pelanggan untuk membuat keputusan yang bermaklumat.
“Kad Kredit-i Nadi Mastercard mencerminkan komitmen kami dalam Menginsankan Perkhidmatan Kewangan dengan menawarkan kebolehramalan dan ketenangan fikiran yang lebih tinggi. Ia mengurangkan kerumitan serta memberikan pelanggan kepastian yang lebih tinggi terhadap kos pembiayaan mereka,” katanya.
Para pelanggan yang berminat boleh membuat permohonan bagi mendapatkan kad kredit berkenaan secara dalam talian melalui aplikasi MAE dan portal Maybank2u, atau hadir ke mana-mana cawangan Maybank di seluruh negara mulai Oktober 2026. – UTUSAN










