WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata, negara itu kekal komited untuk merundingkan perjanjian mengenai program nuklear Iran.
Namun, Trump memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan masih menjadi pilihan jika usaha diplomatik gagal dan menegaskan Teheran tidak boleh memiliki senjata nuklear.
“Kita sama ada akan mencapai satu perjanjian atau kita akan menyelesaikan tugas itu. Okey, dan ia bukan sesuatu yang sukar untuk diselesaikan. Saya lebih suka mencapai perjanjian kerana saya tidak mahu menjejaskan 91 juta penduduk (Iran),” kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih pada Isnin.
Presiden itu berkata, AS mampu menyerang infrastruktur kritikal Iran sekiranya rundingan gagal.
“Kita boleh memusnahkan jambatan mereka dalam masa satu jam, kita boleh melumpuhkan bekalan tenaga mereka. Mereka tidak mempunyai wang sekarang. Kita tidak memberikan mereka sebarang wang,” tambahnya.
Trump mengulangi bahawa menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear kekal sebagai garis merah Washington.
“Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear. Saya tidak mahu menukar rejim,” katanya.
Kenyataan Trump itu dibuat selepas rundingan tidak langsung antara AS dan Iran berakhir minggu lalu.
Rundingan itu tidak menunjukkan sebarang petanda awam mengenai kejayaan, walaupun kedua-dua pihak melaksanakan gencatan senjata selama 60 hari yang bertujuan membuka ruang kepada usaha diplomatik susulan konflik yang tercetus akibat serangan AS dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari. – AGENSI










