Skim Lindung 24 Jam bukan beban, kadar masih rendah

Skim Lindung 24 Jam bukan beban, kadar masih rendah

R. RAMANAN (tengah) bersama penerima faedah Perkeso dan Serahan Surat Tawaran Pekerjaan pada Majlis Perasmian Karnival Lindung Kerjaya Madani@Negeri Sembilan dan Pelancaran Inisiatif MYFutureJobs AI Platform di Bandar Sri Sendayan, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kadar caruman bagi Skim Lindung 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah jauh lebih rendah berbanding kebanyakan produk insurans di pasaran.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kadar caruman sebanyak 0.75 peratus itu perlu dilihat sebagai pelaburan kecil bagi mendapatkan perlindungan menyeluruh bukannya sebagai beban kepada pencarum.

Menurutnya, skim berkenaan diwujudkan bagi melindungi pekerja serta keluarga mereka sekiranya berlaku kemalangan atau musibah di luar waktu bekerja.

“Kalau dibandingkan dengan insurans lain, kadarnya jauh lebih rendah. Saya tidak fikir ada skim perlindungan lain yang menawarkan kadar serendah ini dengan manfaat yang diberikan.

“Ramai menganggap caruman ini sebagai beban, tetapi apabila berlaku kemalangan dan mereka tidak mempunyai perlindungan, barulah timbul rasa menyesal,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Lindung Kerjaya Madani@Negeri Sembilan dan Pelancaran Inisiatif MYFutureJobs AI di Bandar Sri Sendayan, di sini, hari ini.

Ramanan berkata, perlindungan yang disediakan Perkeso turut merangkumi pelbagai faedah termasuk bantuan kewangan kepada pencarum dan tanggungan sekiranya berlaku kehilangan upaya atau kejadian tidak diingini.

Katanya, meskipun terdapat pekerja yang memiliki insurans persendirian, skim di bawah agensi tersebut menawarkan jaminan perlindungan yang lebih komprehensif.

“Insurans lain biasanya lebih mahal dan tidak semestinya memberikan perlindungan yang sama. Perkeso memberikan jaminan perlindungan kepada pencarum mengikut skim yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai memberi ruang kepada kerajaan untuk menjelaskan mekanisme pelaksanaan skim tersebut supaya manfaat sebenar skim itu dapat difahami dan masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang mengelirukan, khususnya menjelang musim pilihan raya.

“Ini merupakan yang terbaik kita buat. Kadang-kadang ada pihak yang tidak bertanggungjawab suka buat cerita macam-macam. Sekarang musim pilihan raya, pelbagai perkara akan dikeluarkan.

“Benda baik kita buat, dia cakap jahat. Benda jahat dia buat, dia cakap baik,” katanya.

Sementara itu, Ramanan berkata, Kementerian Sumber Manusia menerusi Perkeso memperkenalkan MYFutureJobs AI+ sebagai inisiatif baharu untuk memperkasakan tenaga kerja negara agar lebih bersedia menghadapi perubahan landskap pekerjaan yang dipacu kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan.

Katanya, inisiatif itu akan memperluaskan fungsi portal MYFutureJobs daripada sekadar platform padanan pekerjaan kepada platform pembangunan bakat masa hadapan yang menekankan literasi AI, latihan kemahiran dan pembangunan kompetensi mengikut keperluan industri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN