PETALING JAYA: Urus tadbir dan tatakelola yang diwujudkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya menggagalkan tuntutan palsu insentif Daya Kerjaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed mendedahkan, tuntutan itu didalangi segelintir majikan menerusi modus operandi memalsukan dokumen tuntutan.
Beliau berkata, kegiatan itu dikesan Bahagian Anti-Fraud, Etika dan Integriti (AFEI) Perkeso sekitar penghujung 2024 sebelum disusuli siasatan dalaman serta risikan di lapangan.
Katanya, maklumat risikan terperinci melibatkan 426 majikan yang disyaki terbabit dalam kegiatan itu kemudian diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos tahun lalu.
“Saya mengarahkan AFEI untuk bekerjasama dengan SPRM sehingga menyaksikan tangkapan besar-besaran dilaksanakan menerusi Op Daya pada 9 Jun lalu.
“Keberhasilan operasi yang membongkar kegiatan tuntutan palsu ini adalah hasil pelaksanaan tatakelola sedia ada di Perkeso dengan dibantu kemudahan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Tindakan proaktif ini berjaya menyelamatkan dana insentif Daya Kerjaya berjumlah RM5.33 juta, selain tambahan RM1.5 juta lagi dana sama yang dikembalikan oleh majikan selepas mengaku terbabit dalam kegiatan jenayah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammed Azman berkata, Perkeso turut menyempurnakan dasar Ikrar Bebas Rasuah (IBR) melalui SPRM dan menjalin kerjasama dengan suruhanjaya berkenaan bagi tujuan penambahbaikan proses berkaitan.
Sehubungan itu katanya, pendekatan strategik bersama SPRM akan diteruskan supaya setiap tiada ruang untuk jenayah penipuan tuntutan palsu berlaku pada masa hadapan.
“Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana dalang yang terbabit atau bersekongkol dalam jenayah tuntutan palsu, termasuk jika melibatkan anggota dalaman Perkeso.
“Perkeso kekal komited untuk memperkukuh integriti demi memastikan setiap dana awam diuruskan dengan penuh tanggungjawab dan memberikan manfaat kepada pencarum, majikan serta rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN










