Lebih 9 juta pekerja dilindungi Skim Lindung 24 Jam Perkeso bermula hari ini

Lebih 9 juta pekerja dilindungi Skim Lindung 24 Jam Perkeso bermula hari ini

RAMANAN RAMAKRISHNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih sembilan juta pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)  di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) kini dilindungi secara automatik daripada kemalangan di luar tempat kerja menerusi skim Lindung 24, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, inisiatif itu memperluaskan jaringan keselamatan sosial negara dengan menyediakan perlindungan di luar waktu bekerja termasuk ketika cuti umum dan hari rehat.

“Skim di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu dilaksanakan secara automatik kepada semua pekerja sektor formal sedia ada tanpa memerlukan pendaftaran baharu oleh majikan atau pekerja.

“Individu yang mula bekerja dan melapor diri untuk bertugas mulai hari ini (1 Jun) hendaklah didaftarkan oleh majikan masing-masing mengikut prosedur sedia ada menerusi sistem Perkeso,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ramanan, caruman bagi skim Lindung 24 akan ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat tertakluk kepada siling gaji caruman RM6,000.

Katanya, kadar caruman permulaan ditetapkan pada 0.75 peratus daripada gaji bulanan, manakala majikan bertanggungjawab menguruskan potongan gaji serta membuat bayaran caruman bulanan kepada Perkeso.

“Caruman hendaklah dibayar secara berterusan bagi memastikan perlindungan tidak terputus di samping memudahkan pematuhan dalam kalangan majikan dan pekerja.

“Menerusi skim itu, Perkeso menyediakan lapan faedah bagi melindungi kebajikan serta kelangsungan hidup pencarum termasuk faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal dan faedah orang tanggungan.

“Skim ini turut merangkumi elaun layanan sentiasa, faedah pengurusan mayat, pemulihan fizikal, pemulihan vokasional dan Program Return To Work (RTW), selain faedah pendidikan bagi menyokong masa depan penerima manfaat,” katanya.

Tambah beliau, peluasan perlindungan itu selaras dengan saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta amalan terbaik antarabangsa dalam usaha memperkukuh rangkaian keselamatan sosial pekerja.
“Melalui inisiatif terbaharu Perkeso ini, kerangka perlindungan sosial negara menjadi lebih menyeluruh, dinamik dan responsif terhadap realiti semasa pasaran buruh.

“Ia sekali gus menyokong agenda Malaysia Madani dalam memelihara kebajikan dan kesejahteraan pekerja.

“Permohonan faedah boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal Lindung Faedah di lindungfaedah.perkeso.gov.my atau di pejabat Perkeso berhampiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN