Permohonan maaf BN selesai kemelut - Utusan Malaysia

Permohonan maaf BN selesai kemelut

MUHYIDDIN Yassin, Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang menandatangani akuan bersama bersepakat mencadangkan Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak baharu di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Annuar Musa, Hamzah Zainuddin dan Takiyuddin Hassan. – Gambar Twitter Takiyuddin Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan maaf daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) berjaya menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar baharu di Perak.

Bersatu dan Pas bersetuju me­nyokong calon yang dikemukakan UMNO, Datuk Saarani Mohammad yang juga ADUN Kota Tampan.

Dalam satu kenyataan bersama, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perbincangan yang berlangsung semalam turut memutuskan berkenaan pelantikan-pelantikan lain dalam kerajaan negeri.

Katanya, ketiga-tiga parti juga bersepakat untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak dan peringkat nasional demi kestabilan politik dan ke­sejahteraan rakyat.

“Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disertai sama Setiausaha Agung ketiga-tiga parti pada hari ini (Rabu) telah mengadakan perbincangan mengenai pembentukan kerajaan negeri Perak.

“Dalam perbincangan ini, Pengerusi BN telah menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak ADUN BN Perak di atas kekhilafan yang berlaku.

“Atas semangat pemuafakatan PN, ketiga-tiga parti telah bersetuju untuk mencadangkan Saarani sebagai Menteri Besar Perak yang baharu untuk diperkenankan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah,” katanya.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti daripada ADUN Perak dalam undi usul percaya terhadap beliau.

Dalam undian 59 ADUN, sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.

Usul tersebut dibawa ADUN Pengkalan Baru daripada UMNO, Abd. Manaf Hashim. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN