Wanita dituduh gubah wang haram janjikan kehidupan baik di New Zealand

Wanita dituduh gubah wang haram janjikan kehidupan baik di New Zealand

New Zealand
A. Venmani dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pengubahan wang haram selepas memperdaya seorang wanita dengan menjanjikan penghijrahan ke New Zealand demi kehidupan masa depan yang lebih baik, di Shah Alam, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas guru tadika dituduh menggubah wang haram RM133,550 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas memperdaya seorang wanita dengan menjanjikan penghijrahan anaknya ke New Zealand bagi membina kehidupan baik di masa depan.

Bagaimanapun, tertuduh, A. Venmani, 50, mengaku tidak bersalah atas kesemua tiga pertuduhan yang dibacakan ke atasnya dalam satu prosiding.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima wang tunai secara berperingkat sebanyak RM83,550 dan RM50,000 daripada seorang wanita menerusi akaun bank miliknya antara 1 Januari hingga 24 Februari tahun lalu dekat cawangan bank di Bandar Baru Rawang dan Kota Kemuning.

Malah, wanita yang sudah berkahwin namun tidak mempunyai anak itu didakwa menerima dua utas rantai leher dan loket emas juga dari wanita sama dekat sebuah kedai emas di Taman Sri Muda, di sini pada 13 Januari tahun sama.

Justeru, dia dituduh melakukan pengubahan wang haram di bawah Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Sabit kesalahan, Venmani berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil pengubahan wang haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi.

Selain itu, tertuduh juga berdepan kes predikat apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berlainan pada Mac lalu atas pertuduhan di bawah akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakim Wan Ahmad Jaafar kemudian mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan larangan mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

“Pendakwaan juga memohon supaya kes dibicarakan bersekali dengan pertuduhan dihadapinya pada Mac lalu di Mahkamah Sesyen 2 (Shah Alam),” katanya.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Farith Emier Farhan Morni memohon jumlah jaminan sebanyak RM10,000 bagi keseluruhan pertuduhan.

“Pertuduhan pada Mac lalu, anak guam sudah membayar jaminan sebanyak RM30,000. Oleh demikian simpanan tertuduh dan suaminya yang akan menjadi penjamin hari ini sudah pun habis.

“Tertuduh tidak lagi mempunyai pendapatan selepas berhenti kerja susulan pertuduhannya di mahkamah itu. Kini, hanya suami sahaja yang bekerja dan perlu menanggung rawatan dan keperluan asas ibu yang sudah tua dan uzur,” jelasnya.

Hakim Datin Fatimah Zahari kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin serta pematuhan syarat tambahan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 10 Ogos. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN