Pengecualian caj RM1 berjalan lancar sejak 1 Julai

Pengecualian caj RM1 berjalan lancar sejak 1 Julai

PELANGGAN perbankan tidak lagi dikenakan caj pengeluaran antara bank RM1 di mesin juruwang automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) bermula 1 Julai. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengecualian caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai mesin pengeluaran wang automatik (ATM) antara bank yang berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu berjalan lancar sebagai usaha industri perbankan membantu mengurangkan kos sara hidup serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan perbankan harian.

Sebelum ini media melaporkan, pelanggan semua bank di Malaysia tidak lagi dikenakan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mana-mana ATM atau mesin kitar semula pintar (SRM) bermula 1 Julai lalu.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan Islam dan Kewangan Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) memaklumkan, inisiatif itu memansuhkan caj RM1 yang sebelum ini dikenakan ke atas pelanggan yang membuat pengeluaran wang tunai di mesin ATM milik bank lain.

“Pengecualian berkenaan hanya melibatkan ATM yang dikendalikan oleh bank-bank di seluruh negara, manakala caj standard masih boleh dikenakan bagi transaksi yang dilakukan di ATM bukan bank.

“Langkah ini mencerminkan komitmen industri perbankan dalam membangunkan sistem kewangan yang lebih inklusif dan mudah diakses, dengan mengutamakan keperluan harian rakyat,” katanya dalam kenyataan.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, pelaksanaan inisiatif berkenaan dibuat dengan kerjasama rapat Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) bagi memastikan proses pelaksanaannya berjalan lancar dan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat dengan segera.

Pelanggan yang memerlukan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pengecualian caj RM1 itu boleh merujuk saluran komunikasi rasmi bank masing-masing, termasuk laman sesawang, aplikasi perbankan mudah alih atau pusat khidmat pelanggan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN