Perbekalan MOF, JPM lulus - Utusan Malaysia

Perbekalan MOF, JPM lulus

ah long
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) lulus di peringkat jawatankuasa menerusi proses undian belah bahagian di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Proses undi belah bahagian dibuat selepas lebih 15 ahli Parlimen bangun menyokong supaya RUU itu diputuskan menerusi kaedah berkenaan.

Dalam undian pertama membabitkan JPM, sejumlah 105 undi menyokong, 95 tidak bersetuju manakala 20 ahli Parlimen tidak hadir.

Kemenangan tersebut memberi tamparan buat Pakatan Harapan (PH) pada hari pertama perbahasan lebih-lebih lagi dakwaan untuk tidak memberi laluan mudah kali ini sebaik sahaja Belanjawan 2021 peringkat dasar lulus sebelum ini.

Bagi undian kedua melibatkan Kementerian Kewangan, sebanyak 107 ahli Parlimen menyokong usul peringkat jawatan kuasa itu berbanding 95 yang menentang manakala 18 lagi tidak berada di dalam Dewan Rakyat.

Antara Ahli Parlimen yang tidak hadir ialah Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang); bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan); Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) dan beberapa ahli Parlimen daripada pembangkang serta Parti Warisan Sabah (Warisan).

Dalam Belanjawan 2021, Ke­menterian kewangan diberi pe­runtukan RM35.1 bilion iaitu RM20.8 bilion perbelanjaan me­ngurus dan RM14.1 bilion untuk tujuan pembangunan.

JPM diberi RM11.69 bilion iaitu RM4.47 bilion bagi per­belanjaan mengurus dan RM7.2 bilion bagi pembangunan.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun turut menetapkan ahli Parlimen diberi 10 minit untuk mengundi kepada mereka yang sudah berada dalam Dewan sebaik sahaja loceng dua minit kedua dibunyikan.

Keputusan itu dibuat selepas berlaku kekecohan membabitkan beberapa pemimpin pembangkang yang bangun mempertikaikan tindakan Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) memasuki Dewan selepas loceng kedua dibunyikan.

Lima menteri JPM terlibat dalam sesi penggulungan RUU ialah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof, Datuk Seri Mustapa Mohamad, Datuk Takiyuddin Hasan dan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN