PUTRAJAYA: Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas lebih selesa dengan sistem menteri kanan dan tidak berhasrat melihat situasi politik tanah air menjadi tidak stabil ketika ini.
“Kita akui kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebenarnya tidak kukuh dari segi majoriti dan memerlukan mandat baharu daripada rakyat tetapi biarlah diselesaikan dahulu isu wabak Covid-19,” tegasnya.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada Pas turut berminat untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri tetapi memberi bayangan UMNO layak berdasarkan kepada bilangan kerusi Parlimen terbanyak.
Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) Program Rumah Ibadat Hijau di sini, semalam.
Menurut Tuan Ibrahim, kepemimpinan Pas melihat UMNO wajar membangkitkan isu jawatan nombor dua negara itu dengan mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri.
Beliau berkata, UMNO terlebih dahulu perlu bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin jika mahu mengemukakan tuntutan jawatan tersebut.
“Ini hak (mutlak) Perdana Menteri sendiri untuk lantik sesiapa, saya fikir elok UMNO bincang dalam perjumpaan itu jika berpendapat parti tersebut wajar dapat jawatan ini,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Mingguan Malaysia yang menegaskan, UMNO akan membangkitkan isu jawatan berkenaan.
Ia akan dikemukakan selepas Belanjawan 2021 diluluskan namun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula berpendapat parti itu tidak perlu mendesak Muhyiddin.
Selain itu ujar Tuan Ibrahim, Pas dan UMNO sering berbincang dengan kepemimpinan parti tersebut dalam pelbagai isu politik semasa menerusi platform Muafakat Nasional ketika ini.
“Bagi kami, Pas masih lagi mendokong kerajaan PN kekal dan membina semula negara terutama ekonomi serta cabaran pandemik ketika ini sebelum fikir soal pilihan raya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










