KUALA LUMPUR: Pesalah yang berdepan hukuman penjara diwajibkan membuat ujian calitan (swab test) Covid-19 dan dipastikan negatif sebelum dibenar memasuki penjara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, prosedur itu selaras dengan keputusan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Covid-19, bilangan 29 tahun 2020 pada 15 Oktober lalu.
“Jabatan Penjara turut mempunyai perintah tetap jabatan berhubung dengan ujian saringan Covid-19, yang mana telah menetapkan agar semua banduan sebelum diterima masuk ke penjara perlu mempunyai keputusan ujian.
“Perintah tetap ini selaras dengan keputusan sidang khas MKN yang telah bersetuju agar dilaksanakan ujian pengesahan Covid-19 kepada semua banduan semasa kemasukan bagi memastikan penularan di penjara dapat dicegah sepenuhnya,” katanya di Dewan Negara semalam.
Beliau menjawab soalan Senator Lim Hui Ying berkenaan langkah-langkah yang telah diambil dan perancangan seterusnya berhubung sistem penjara susulan daripada jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan banduan dan staf.
Dalam pada itu Ismail berkata, Jabatan Penjara telah mengemukakan cadangan kepada Lembaga Pengampunan Negeri tertentu untuk tujuan meringankan hukuman kepada banduan yang terpilih.
Jelasnya, untuk pemerkasaan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) pula, ia sedang dilaksanakan melalui pindaan Akta Perintah Kehadiran Wajib 1954 bersama pihak Jabatan Peguam Negara.
“Selaras dengan hala tuju Jabatan Penjara iaitu dua per tiga banduan sabitan yang layak akan menjalani pemulihan di luar penjara,” katanya. – UTUSAN










