Kerjasama awam-swasta pulih ekonomi - Utusan Malaysia

Kerjasama awam-swasta pulih ekonomi

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan berharap sektor swasta dapat berganding bahu dalam memandu usaha pemulihan ekonomi negara dengan lebih mantap, les­tari dan inklusif tanpa meninggalkan sesiapa pun di belakang.

Perdana Menteri berkata, perkara itu antara fokus yang turut diambil kerajaan di seluruh dunia dalam pemulihan pasca Covid-19 dengan mene­rokai jalan baharu dan inventif berkolaborasi bersama komuniti perniagaan mereka sekali gus mampu membuka semula sektor ekonomi, mengembalikan pekerja kepada pekerjaan mereka dan aktiviti perniagaan boleh kembali berjalan secara normal.

Bagaimanapun, dalam ke­semua fokus itu katanya, kerajaan Malaysia meletakkan komitmen bahawa rakyat me­rupakan keutamaan terpenting dalam usaha pemulihan ekonomi ini.

“Oleh kerana mereka yang paling banyak terkesan pandemik Covid-19 juga cenderung menjadi golongan paling ren­tan, saya yakin bahawa usaha tersebut hanya akan bermanfaat jika ia mampu membawa kebaikan dan kesejahteraan lebih besar bagi setiap warganegara,” katanya ketika be­r­u­cap dalam World Chinese Economic Summit secara maya di sini semalam.

Dalam hal itu, kata beliau, langkah intervensi yang di­sasarkan dan idea perkongsian awam-swasta yang baharu membolehkan negara berjaya memerangi wabak ini dan segera mengatasi krisis ekonomi sekali gus mencapai keseimbangan antara keutamaan kesihatan dan keperluan ekonomi.

“Dalam usaha kolektif antara negara, adalah amat penting kerajaan setiap negara terus mengekalkan falsafah dan peraturan dalam menguatkuasakan perdagangan antarabangsa dalam memberikan kepastian dalam perniagaan.

“Oleh itu, kita mesti menentang protectionisme dan unilateralism dan membenarkan ali­ran barang dan perkhidmatan rentas sempadan tanpa sekatan selain memastikan gangguan minimum pada rantaian bekalan serantau dan global.

“Sebagai Perdana Menteri, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan jaminan bahawa Malaysia adalah dan akan sentiasa menjadi negara pro-perniagaan, pro-perda­gangan dan pro-pelaburan.

“Kerajaan saya akan terus memupuk ekosistem yang membolehkan perniagaan berkembang maju dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik selain melaksanakan dasar yang memastikan keadaan pasaran yang baik untuk eks­port Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN