DAP tolak kerjasama dengan UMNO tanpa PKR, Amanah - Utusan Malaysia

DAP tolak kerjasama dengan UMNO tanpa PKR, Amanah

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: DAP Perak hanya akan bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk Kerajaan Perak jika rakan komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Amanah Rakyat (Amanah) dan PKR turut bersama.

Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming berkata, satu perjanjian bertulis perlu dimeterai sekiranya cadangan kerjasama itu mencapai kata sepakat.

Beliau berkata, keputusan DAP itu selepas mengambil kira situasi di Perak yang mana tiada satu parti yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan stabil berikutan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak pada Jumaat lalu.

“Kesediaan DAP Perak be­kerjasama dengan UMNO membuktikan dua perkara iaitu DAP adalah parti berjiwa besar yang sanggup meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai agenda keutamaan.

“Momokan DAP adalah anti-Melayu atau anti-Islam selama ini adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenya­taan di sini semalam.

Kor Ming yang juga ADUN Aulong berkata, kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan UMNO adalah berpaksikan kepada prinsip utama membentuk sebuah kerajaan berbilang kaum yang bersih, berintegriti dan berpandukan kepada prinsip good governance.

Sementara itu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, terserah kepada UMNO untuk membuat keputusan sama ada mahu meneruskan cadangan kerjasama dengan PH atau sebaliknya.

“Bola ada di gelanggang UMNO,” katanya menerusi pesanan aplikasi WhatsApp kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, Kor Ming; Farhash Wafa Salvador dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Ama­nah), Datuk Asmuni Awi dilihat memasuki Istana Kinta antara pukul 2.55 hingga 3.05 petang untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Ketiga-tiga mereka hadir ke istana dengan menaiki ken­deraan berasingan.

Bagaimanapun, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak masih belum dipanggil menghadap Sultan Nazrin berhubung pelantikan menteri besar negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya tidak menerima makluman titah untuk menghadap Sultan Perak.

“Bersatu Perak ingin memaklumkan bahawa kami tidak menerima makluman titah untuk menghadap Sultan Perak secara rasmi seperti mana yang dilaporkan oleh media massa,” katanya semalam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN