PUTRAJAYA: Purata gaji pekerja bumiputera dan bukan bumiputera mencatat peningkatan melebihi lima peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perkembangan itu menunjukkan pencapaian positif dalam corak pendapatan rakyat meskipun masih terdapat ruang untuk memperkukuh penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi berdaya maju.
“Jika kita tengok dari segi gaji, secara umumnya gaji Bumiputera dan bukan bumiputera meningkat dalam kadar yang agak baik, satu pencapaian lebih daripada lima peratus sekarang ini.
“Sudah tentu terdapat perbezaan dari segi komposisi dan saiz populasi antara kumpulan etnik. Bagi sesetengah kumpulan yang mempunyai bilangan lebih kecil, peningkatan itu mungkin lebih ketara.
“Namun bagi bumiputera yang mempunyai populasi lebih besar, pencapaian secara purata akan dipengaruhi oleh keseluruhan komposisi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas program Simfoni Data dan Media di sini semalam.
Mengulas mengenai pembangunan ekonomi bumiputera, Mohd. Uzir berkata, DOSM kini memperkenalkan Dashboard Data Analitik Ekonomi yang menghimpunkan pelbagai indikator ekonomi dan sosial dalam satu platform bersepadu.
Katanya, dashboard itu membolehkan pencapaian bumiputera dipantau secara lebih mudah menerusi visualisasi data yang merangkumi agihan gaji, pendapatan, prestasi ekonomi serta indikator sosial.
“Secara umumnya, kita melihat penyertaan ekonomi bumiputera terus bergerak ke hadapan, namun masih terdapat ruang untuk meningkatkan penglibatan dalam sektor yang mempunyai nilai tambah dan produktiviti lebih tinggi.
“Pada masa sama, usaha mengurangkan jurang ekonomi perlu diteruskan supaya sasaran pembangunan yang ditetapkan dapat dicapai,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata DOSM turut melancarkan Dashboard MySubnasional yang menyediakan statistik mengikut kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu wakil rakyat serta pembuat dasar merancang pembangunan berdasarkan data.
Selain itu, DOSM turut memperkenalkan Indeks Keterjaminan Makanan yang mengukur tahap sekuriti makanan negara berdasarkan beberapa dimensi utama termasuk ketersediaan, kebolehcapaian dan penggunaan makanan.
Mohd. Uzir berkata, secara keseluruhannya indeks tersebut menunjukkan Malaysia berada pada landasan yang baik, namun pengeluaran makanan dalam negara masih perlu dipertingkatkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import
Ujarnya, penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian seperti dron dan pendigitalan mula menunjukkan perkembangan positif selain menarik minat lebih ramai golongan muda menceburi sektor berkenaan.
“Pertanian kini bukan lagi sektor yang dianggap tradisional semata-mata. Dengan penggunaan teknologi, ia membuka lebih banyak peluang kepada usahawan muda untuk mengembangkan perniagaan secara komersial dan meningkatkan produktiviti,” katanya.
Pada majlis sama, Mohd. Uzir turut merakamkan penghargaan kepada media atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh beliau menerajui DOSM dalam memperkukuh penyebaran statistik rasmi negara.
Beliau yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Perangkawan esok berkata, statistik yang berteraskan kredibiliti dan integriti akan terus menjadi asas penting dalam menyokong proses penggubalan dasar serta pembangunan ekonomi negara. –UTUSAN










