Standard Chartered lancar dana Asia Pasifik bersama BlackRock - Utusan Malaysia

Standard Chartered lancar dana Asia Pasifik bersama BlackRock

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Standard Chartered mengumumkan pelancaran sub-dana terbaharunya di bawah platform Syarikat Modal Boleh Ubah (VCC) menerusi kerjasama strategik bersama firma pengurusan aset global, BlackRock selaku sub-pengurus.

Dana yang dikenali sebagai Signature Select APAC Allocation Plus itu merupakan strategi pelbagai aset berfokuskan Asia yang direka sebagai penyelesaian sehenti buat pelabur yang mencari pendedahan pasaran yang luas di rantau Asia Pasifik.

Ketua Pengurusan Kekayaan dan Perbankan Runcit Standard Chartered Malaysia dan Indonesia, Harmander Mahal berkata, pengenalan dana tersebut di Malaysia membolehkan pelanggan tempatan mempelbagaikan lagi portfolio mereka serta memanfaatkan peluang rentas sempadan.

Katanya, langkah itu selari dengan fokus bank untuk membantu memenuhi keperluan rentas sempadan pelanggan menerusi kepakaran kekayaan, penyelesaian unik, serta kehadiran rangkaian perniagaan yang luas di rantau ASEAN.

“Dana Signature Select APAC Allocation Plus ini merupakan gabungan daripada keupayaan tersebut, yang mana ia diperkukuh lagi menerusi kerjasama kami dengan BlackRock yang merupakan pengurus dana global terkemuka.

“Melalui inisiatif ini, pelanggan kami di Malaysia boleh memaksimumkan peluang rentas sempadan bagi mengembangkan, mengurus dan memelihara kekayaan mereka dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan.

Dana terbaharu itu menawarkan pendedahan pelbagai aspek dengan melabur merentasi segmen ekuiti, pendapatan tetap, serta alternatif cecair bagi memberikan pertumbuhan modal jangka panjang di samping penjanaan pendapatan.

Ia akan disediakan khusus untuk Pelabur Diiktiraf dan Profesional merentasi segmen Priority, Priority Private, dan Private Banking Standard Chartered di Malaysia, Singapura, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jersey, Kenya dan Nigeria.

Sementara itu, Ketua Global Penasihat dan Pelaburan Terurus, Penyelesaian Kekayaan Standard Chartered, Sumeet Bhambri berkata, pelancaran itu menandakan sub-dana kelapan yang diperkenalkan di bawah platform VCC sejak ditubuhkan pada Jun 2024, serta pelancaran dana ketiga bagi tahun 2026.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Asia-Pasifik dan Ketua Kekayaan Asia Pasifik BlackRock, Andrew Landman berkata, prospek pertumbuhan ekonomi yang kuat di Asia Pasifik menawarkan peluang menarik untuk pelaburan aktif memandangkan banyak aset di Asia masih belum dinilai sepenuhnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN