Pemergian ke rahmatullah pemikir Melayu tersohor Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz pada usia 98 tahun, Selasa 15 Disember lalu amat dirasai kita semua.
Antara yang menggamit fikiran saya adalah idea dan pemikiran allahyarham yang melangkaui masa. Antaranya semasa sempat bersembang dengannya sekitar akhir tahun 90-an, beliau bercakap tentang isu kemiskinan orang Melayu.
Antara puncanya, kata Allahyarham kepada saya adalah taraf pendidikan yang rendah dan fikiran yang kolot.
Khamis lepas, seorang rakan mengirim saya satu keratan akhbar kenyataan Allahyarham 55 tahun lalu dalam satu ceramah forum televisyen pada Mei 1965. Tertera tajuknya: Pemikiran ta’ harus berdasar kepada perkauman.
Saya paparkan ungkapan Ungku Abdul Aziz berikut dalam keratan di sebelah kanan ini agar lebih jelas mata menghadamkan pengertiannya:
“Memang pada bunyinya menunjukkan orang-orang Melayu mendapat layanan istimewa dari bangsa-bangsa asing di sini. Tetapi berani saya katakan bahawa layanan istimewa pada orang-orang Melayu itu menjadikan mereka bangsa yang paling miskin dalam negerinya.”
– Prof. Ungku Aziz.
Al-fatihah. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin.
Hikmah, gelora dan kelicikan politik
SUPREMACY atau keagungan mana-mana pemerintahan saya cukup yakin tidak akan dinafikan jika pentadbiran berkenaan dirasai hingga ke pinggan makan.
Menongkah tahun-tahun 90-an, 2000-an dan dua dekad selepasnya, dengan usia pun sudah separuh abad, saya gemar menghayati dan menyelami mesej kata-kata hikmah.
Anda anak muda bagaimana? Ya, sekarang anak muda pasti jarang atau tidak menggunakan pun bahasa kiasan dalam kehidupan harian mereka.
Bercakap hal politik terbaharu yang turut menjadi sorotan utama kolum ini, situasi di Perak telah pun selesai manakala Belanjawan 2021 pun muktamad lulus. Alhamdulillah.
Tak banyak kisah teladan yang boleh dikutip akibat senario politik semasa tanah air hari ini. Cuma saya perturunkanlah juga ungkapan hikmah cukup bermakna yang pernah diungkapkan oleh individu atau pemimpin tersohor berikut. `Siapa makan cili barangkali terasa pedasnya’.
KEJAHATAN
* Orang yang berani tidak akan membabi-buta melompat masuk ke dalam jurang, melainkan masuk dengan perlahan-lahan dengan mata yang terbuka setelah mengukur dalamnya.
– Stahl P.J
* Seseorang yang melakukan kesalahan dan tidak membetulkannya telah melakukan satu kesalahan lagi.
–Confucius
* Jika kejahatan dibalas kejahatan, maka itu adalah dendam. Jika kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa. Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim. Tapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji.
–La Roche
* Masa depan itu dibeli oleh masa sekarang.
– Samuel Johnson
* Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah.
–Lao Tze
* Nilai hidup harus diukur dengan garis yang lebih mulia, iaitu kerja dan bukannya usia.
– Richard Brinsley Sheridan
* Anda mungkin ditipu jika terlalu mempercayai orang tetapi hidup anda akan terseksa jika tidak mempercayai orang
– Frank Crane
* Komunikasi adalah sesuatu yang mudah. Susahnya ialah apabila kita tidak menyebutnya dengan perkataan yang mudah.
– T.S Matthews
* Jikalau satu-satunya yang ada hanyalah tukul, maka semua masalah akan dilihat seperti paku.
– Maslow
* Rakyat itu akar bangsa. Jika akarnya sihat, pokoknya pun sihat.
– Beng Tju
* Jangan tanya apa yang dibuat oleh negara untukmu, tapi tanyalah apa-apa yang boleh kamu buat untuk negara.
– Abraham Lincoln
Pepatah Melayu mengatakan, bila dapat betis hendakkan paha. Dan bila dapat paha hendakkan badan pula.
Ini naluri manusia biasa, apatah lagi dalam dunia politik.
Cuma daya dorong ini harus dikawal dengan kukuh melalui personaliti atau sahsiah berserta dengan sistem nilai yang berimbang.
Agak biasa bagi seorang pemimpin itu mempunyai golongan yang dipanggil ‘orang kita’, yakni mereka yang dikenali sebagai penyokong dan pembantu.
Dalam golongan itu pula akan ada kumpulan yang berupa tegar iaitu mereka yang sentiasa menyokong walau apa pun kesilapan atau kekurangan pemimpinnya. Ini terutamanya jika pemimpin itu sudah termakan budi.
Ini semua diketahui belaka oleh setiap yang bernama pemimpin. Cuma yang tergolong sebagai batu api tadi peranan mereka adalah membakar. Yang dalam amalan sebenar menghasilkan adu domba dan cucuk radak.
KUDA KAYU
Pepatah Inggeris berkata, Beware of Greeks bearing gifts atau “Berjaga-jagalah apabila orang Greek membawa hadiah”. Wilayah Troy jatuh ke tangan orang Greek kerana mereka menerima hadiah kuda kayu yang diberi oleh orang Greek.
Begitu juga dengan orang yang akan datang dalam politik `kacau’, lantas membuat janji-janji yang memikat nafsu rakyat.
Harus diingat, tujuan pilihan raya untuk membentuk kerajaan. Tetapi jika tersalah pilih, mereka akan mendapat kerajaan dan para pemimpin yang hanya asyik untuk berkuasa sahaja.
Bak kata pepatah Barat, A people deserves the Government it gets. Atau lebih kurang maksudnya “Sesuatu bangsa mendapat kerajaan yang padan bagi bangsa itu”.
Pada 1946, orang Melayu tertekan dengan rancangan British mengambil-alih negeri-negeri Melayu. Dalam ketakutan, mereka bersatu padu dan menentang British.
Semangat yang ada pada 1946 itu adalah semangat perpaduan yang menyatupadukan bangsa – tanpa mengira raja atau rakyat, daerah atau keturunan. – MINGGUAN MALAYSIA










