Banjir di Kelantan tidak berubah - Utusan Malaysia

Banjir di Kelantan tidak berubah

Pemandangan dari udara menunjukkan rumah penduduk di Kampung Pak Itam, Pasir Mas, Kelantan masih ditenggelami air setinggi tiga meter, semalam. Banjir disebabkan limpahan air Sungai Golok. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Banjir di Terengganu menunjukkan perkemba­ngan lebih baik berbanding Ke­lantan, semalam dengan jum­lah mangsa ditempatkan di pusat pe­mindahan se­­mentara (PPS) menurun berbanding kelmarin.

Data dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menunjukkan penurunan daripada 2,377 kepada 2,214 orang di 31 PPS.

Di TERENGGANU, sebanyak 1,218 orang membabitkan 321 keluarga masih ditempatkan di 18 PPS setakat semalam.

Ketua Sekretariat Jawatan­kuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, bilangan itu turun kepada 781 orang berbanding 1,999 mangsa membabitkan 519 keluarga yang direkodkan pada pukul 6 petang kelmarin.

Katanya, jumlah mangsa yang terjejas di Kemaman kini seramai 766 orang membabitkan 197 buah keluarga manakala di Dungun pula melibatkan 124 buah keluar­ga iaitu seramai 452 orang.

Che Adam berkata, cuaca di Terengganu diramalkan baik di sebahagian besar daerah sehingga tiga hari lagi di samping paras air di sungai-sungai utama yang turut mencatatkan trend penurunan ketara.

Kelmarin, Terengganu mencatatkan jumlah mangsa banjir melebihi 8,000 orang sepanjang melalui empat fasa bencana itu sejak 18 November lalu.

Di KELANTAN, jumlah mang­sa yang masih ditempatkan di 13 PPS tidak banyak berubah de­ngan 996 orang daripada 380 buah keluarga.

Ini kerana kediaman mereka yang terletak di Sungai Golok di Pasir Mas masih digenangi air banjir yang berpunca daripada limpahan sungai tersebut biarpun cuaca panas sepanjang hari semalam.

Berdasarkan portal eBanjir kerajaan negeri sehingga pukul 5 petang semalam, sebanyak 11 PPS yang masih dibuka di Pasir Mas dengan jumlah mangsa 917 orang daripada 357 keluarga.

Dua lagi PPS di Tanah Merah kini menempatkan 79 mangsa daripada 23 keluarga.

Sementara itu, bacaan terkini dipaparkan infobanjir.water.gov.my mendapati paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini mencapai 10.16 meter, masih melepasi paras bahaya 9 meter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN