Apa logiknya ada suami? - Utusan Malaysia

Apa logiknya ada suami?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya bersedia membawa gelaran ibu tunggal hingga akhir hayat.” Itu jawapan yang diberikan pelakon ini ketika ditanya sudahkah dia bersedia kembali bergelar seorang isteri. Ternyata selepas hampir tujuh tahun menyendiri membesarkan dua anaknya, Rita Rudaini bagaikan hilang rasa untuk kembali bercinta apatah lagi berkahwin.
Akui cukup selesa dengan rutin hidupnya kini, mungkin sudah sampai masanya pihak di luar sana faham, mempunyai suami bukan suatu keperluan buat dirinya lagi.
“Memang tiada rasa langsung untuk mempunyai suami.
“Saya juga sebenarnya tidak mahu rutin yang ada kini diganggu dengan kehadiran orang lain. Cukup selesa dengan apa yang ada. Saya mensyukuri setiap waktu dalam kehidupan saya,” kata Rita yang juga ibu kepada Airit Rayyan Rizqin, 11, dan Airit Qaqa Arjuna, 9.
Akui didekati rakan-rakan yang mahu memperkenalkannya dengan lelaki yang mempunyai potensi bergelar suami, bagi anak kelahiran Perlis ini, tidak sukar untuk dia menolak permintaan seperti itu, memandangkan dia cukup faham dengan keperluan sebenar dirinya.
“Jujurnya bila ada yang nasihatkan perlu mempunyai suami dalam memudahkan kehidupan sebagai seorang wanita, saya tidak lihat di mana logiknya. Sehingga kini saya juga mampu melakukan semuanya tanpa kehadiran seorang suami.
“Sebagai ibu tunggal, kehidupan yang saya lalui cukup sibuk. Jadi memang tidak ada masa memikirkan soal ini. Anak-anak bukanlah penghalang, tetapi lebih kepada hati saya sendiri,”jelasnya.
Kaya bukan, kacak pun bukan. Ketika ini tiada ciri-ciri spesifik yang mampu diberikan wanita berusia 44 tahun ini kepada mana-mana lelaki yang mahu mendekati dirinya. Malah dia juga tidak tahu sama ada pernah didekati pihak yang ingin menawarkan cinta.
“Saya sendiri tidak dapat jawab persoalan itu. Apa juga ciri yang hadir dalam mana-mana lelaki belum tentu mampu cairkan hati ketika ini.
“Soal didekati memang saya tidak tahu sebab tidak pernah terfikir ke arah itu. Jadi senang cerita, saya memang tidak pernah didekati. Mungkin dalam masa sama tidak ada masa mahu ambil tahu,” katanya tersenyum.

Jangan bagi saya watak mak-mak

Ketika ada rakan pelakon seusianya sudah diberikan watak yang jauh lebih tua, nampaknya Rita masih kekal dengan kemampuannya untuk terus ditawarkan dengan watak utama.
Tegas dengan pilihannya untuk tidak membawakan watak ‘asal boleh’, jelasnya sebagai pelakon dia sentiasa tahu nilai bakatnya.
“Kalau ada produksi yang saya tidak pernah bekerja sebelum ini memang mereka akan tawarkan watak mak-mak. Saya tidak salahkan mereka, namun saya akan jelaskan mengapa tawaran itu terpaksa ditolak.
“Bukan menafikan umur, namun jika saya masih diberikan tanggungjawab untuk membawakan watak utama, mengapa saya perlu terima dan jatuhkan nilai diri ketika ini? Sebab itu, saya akan sentiasa berhati-hati menerima apa-apa tawaran,” katanya.
Sentiasa meletakkan kualiti sebelum bayaran, itu bukan satu rahsia untuk mengenali Rita sebagai antara pelakon yang cukup cerewet dalam mendapatkan persetujuan. Malah ada suatu ketika dia akan memastikan setiap aspek menepati kemahuannya sebelum menjalankan tugas sebagai pelakon kepada mana-mana produksi.
“Saya tidak akan sesekali terima tawaran tanpa memahami watak dan kemampuan diri sendiri. Malah ketika saat pandemik ini juga saya masih mengekalkan prinsip yang sama.
“Saya tidak mahu untuk berada dalam situasi tidak ikhlas bekerja. Jadi daripada berada dalam keadaan itu lebih baik saya tolak sahaja,” katanya.

Bola sepak dan artis

KISAH cinta antara selebriti wanita dan pemain bola sepak bukan asing ketika ini. Berlaku di seluruh dunia, bagaikan ada magnet antara dua profesion ini untuk disatukan dalam sebuah hubungan.
Tidak ketinggalan di negara ini, kisah cinta antara selebriti dan pemain bola sepak juga menjadi antara isu yang sering menarik perhatian ramai.
Bagaimanapun, kebelakangan ini ada peminat-peminat bola sepak yang tidak merestui apa yang berlaku. Ada mendakwa cinta selebriti ini hanya gangguan kepada prestasi pemain sahaja.
Pernah berada pada posisi sama, pelakon ini tidak menyalahkan masyarakat yang mungkin mempunyai kesangsian dalam hubungan yang terjalin.
Tidak takut untuk bersuara, bagi Rita bukan sesuatu yang salah jika kejujuran menjadi asas setiap hubungan.
“Apa yang sangsi bila kebanyakan mengejar pemain dari satu kelab sahaja. Mungkin masing-masing juga mengambil kesempatan antara satu sama lain dengan kelebihan yang ada. Dalam tempoh ini saya lihat sesuai sangat kalau ada yang tidak jujur.
“Mungkin ada yang bangkitkan lepas saya memberi kenyataan ini ada yang mahu kaitkan dengan apa yang berlaku. Saya mengenali bekas suami saya ( Aidil Zafuan Abd. Radzak) sebelum dia terkenal malah ketika itu dia juga bukan sesiapa.
“Cuma nasihat saya sentiasa berpijak pada bumi nyata dan jangan mudah terpedaya,”katanya sinis.
Ditanya sama ada dia sendiri pernah merasai cinta sejati yang terbit di padang bola, Rita nampaknya tidak menunggu lama menjawab dengan jawapan tidak.
“Saya tidak rasa ada cinta sejati, apa yang dilalui seperti habis madu sepah dibuang.
“Pada awalnya memang semua indah belaka. Namun siapa tahu ketika ini ada yang terpaksa berhadapan dengan keadaan yang pernah dilalui saya dahulu. Bila dalam keadaan itu mungkin terpaksa telan sahaja,”katanya lagi. – Pancaindera

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN