PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan kes harian baharu tertinggi sepanjang wabak Covid-19 melanda negara iaitu 2,335 kes.
Ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 103,900 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 20,035 kes.
Sebanyak 11 kluster baharu direkodkan iaitu jumlah kluster tertinggi setakat ini yang dikenal pasti membabitkan Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Pahang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kuala Lumpur mengatasi Selangor yang merekodkan kes baharu tertinggi 10 hari berturut-turut dengan mencatatkan sebanyak 728 kes.
Katanya, Selangor pula merekodkan sebanyak 710 kes diikuti Johor iaitu 412 kes dan Sabah, 248.
“Sehingga kini, terdapat 108 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 50 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan dua kematian.
“Bagi kes sembuh pula, sebanyak 874 kes dan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 83,414 kes,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas mengenai 11 kluster baharu, Dr. Noor Hisham berkata, empat kluster tempat kerja dikenal pasti iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Seng di Titiwangsa, Kuala Lumpur, seramai 407 individu disaring, di mana 232 kes positif dan Kluster Plastik Subang di Petaling dan Klang, Selangor, seramai 354 individu disaring dan 111 kes positif dikesan.
Katanya, Kluster Jalan Asam pula melibatkan Petaling dan Klang, Selangor seramai 713 individu disaring dan 13 kes positif manakala Kluster Semambu di Kuantan, Pahang, seramai 47 individu disaring dan 11 kes positif.
“Selain itu, dua kluster dikesan di Johor iaitu KLuster Pagar Siput di Kota Tinggi, seramai 200 individu disaring, di mana 129 kes positif dan Kluster Sungai Redan di Kluang dan Kota Tinggi, seramai 11 kes positif selepas saringan ke atas 93 individu,”katanya.
Sementara itu, sambutan cuti Krismas semalam menyaksikan 1,002 individu ditahan di seluruh negara kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jumlah tertinggi sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu itu direkodkan Pasukan Khas Operasi Pematuhan yang diketuai polis dengan 854 individu dikompaun manakala baki 148 direman.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan tertinggi dicatatkan melibatkan 687 individu ditahan kerana melakukan aktiviti di pusat hiburan. – UTUSAN










