PETALING JAYA:Pelakon Kamal Adl tampil menitipkan ucapan hari lahir buat bekas isterinya, Uqasha Senrose.
Hantaran yang dibuat oleh Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, mencuri tumpuan warga maya memandangkan status hubungan mereka yang kini bukan lagi sebagai suami isteri.
“Selamat hari lahir untuk Cik Uqasha Senrose atau Ibu Hawra Uqaira. Semoga dipanjangkan umur, dipermudahkan rezeki, dan dikayakan rezeki.
“Semoga diberikan kebahagiaan selalu oleh Allah SWT. Saya juga berharap agar awak menjadi seorang ibu yang terbaik. Tolong Amiinkan ucapan dan doa ini sekiranya sudi,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Untuk rekod, kemelut rumah tangga pasangan selebriti ini akhirnya menemui titik noktah selepas mereka disahkan bercerai talak satu pada 12 Januari lalu.
Perceraian tersebut berlaku di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur selepas mahkamah mensabitkan wujudnya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.
Sebelum ini, Uqasha telah memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan tiada lagi persefahaman antara mereka.
Hasil perkahwinan yang dibina pada 5 November 2021 itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Hawra Uqaira yang kini menjadi keutamaan kedua-dua pihak.










