Haaland tidak percaya Norway menang

Haaland tidak percaya Norway menang

Erling Haaland
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EAST RUTHERFORD: Penyerang Norway, Erling Haaland menyifatkan kejayaan pasukannya menewaskan Brazil 2-1 dalam aksi 16 terbaik Piala Dunia 2026 adalah sesuatu yang sukar dipercayai.

Haaland menjaringkan kedua-dua gol ketika Norway mara ke suku akhir buat kali pertama, sekali gus menjadikan jumlah jaringannya dalam kejohanan itu meningkat kepada tujuh gol, menyamai Lionel Messi dan Kylian Mbappe dalam perebutan Kasut Emas.

“Saya sendiri sukar mempercayainya kerana saya tidak pernah mengimpikan perkara ini sepanjang hidup saya.

“Saya bermimpi untuk beraksi di Piala Dunia bersama Norway dan membawa negara saya layak ke Piala Dunia, tetapi saya tidak pernah menyangka kami boleh menewaskan Brazil. Sejujurnya, saya fikir ia mustahil. Namun nampaknya saya silap,” kata Haaland.

Norway meneruskan rekod luar biasa tanpa kalah menentang juara dunia lima kali, Brazil, dengan mencatat tiga kemenangan dan dua keputusan seri daripada lima pertemuan.

Mereka akan berdepan England di Miami pada 11 Julai bagi merebut tempat ke separuh akhir.

Haaland, 25, yang kini telah meledak 62 gol dalam 54 penampilan bersama Norway, menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang sukar digambarkan.

“Sebagai pemain bola sepak, sudah tentu anda mahu beraksi di Piala Dunia dan memberikan persembahan terbaik. Namun, menjaringkan tujuh gol untuk Norway di pentas Piala Dunia adalah sesuatu yang amat istimewa.

“Semuanya terasa seperti mimpi. Saya benar-benar kehabisan kata-kata untuk menggambarkan perasaan ini. Saya rasa perlu mencubit diri sendiri kerana pencapaian ini sangat besar,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN