KUALA LUMPUR: Wanita Vietnam dan Indonesia merupakan mangsa yang paling banyak diperdagangkan terutama untuk tujuan pelacuran sejak tahun 2017 hingga September lalu.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah (D3) ATIPSOM, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, sebanyak 1,471 wanita warga Vietnam yang disyaki dieksploitasi untuk pelbagai tujuan terutamanya pelacuran.
Katanya, selain itu, pihaknya turut menyelamatkan seramai 1,007 wanita warga Indonesia bagi tempoh sama.
Jelasnya, selain kegiatan seks, siasatan mendapati kebanyakan mangsa dipaksa bekerja secara tidak rela seperti menjadi pembantu rumah, pelayan restoran dan sebagainya.
“Mereka bukan sahaja dipaksa tetapi ada antara mangsa yang dieksploitasi dengan tidak dibayar gaji, tidak diberi tempat tinggal yang selesa malah dikurung majikan.
“Selain Vietnam dan Indonesia, kita turut menyelamatkan seramai 819 wanita warga Thailand dan China serta dan Filipina masing-masing 201 mangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengulas lanjut, Fadil memberitahu, modus operandi sindiket dengan mengatur kemasukan warga asing ke negara ini dengan bayaran tertentu.
Jelasnya, mereka kemudian ‘disimpan’ sindiket sebelum dijual dengan harga yang ditetapkan kepada majikan.
“Malah, ada juga sindiket yang memegang pasport, visa serta telefon bimbit mangsa bagi memastikan mereka tidak dapat melarikan diri.
“Ini juga menyebabkan mereka terputus hubungan dengan dunia luar serta tidak dapat menghubungi keluarga,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan sebanyak 5,177 orang diperdagangkan untuk pelbagai tujuan terutama melibatkan kegiatan seks dan buruh paksa.
Bagaimanapun, ada antara mereka yang masuk melalui pintu sah dan hanya menyedari ditipu apabila tiba di negara ini.
Fadil berkata, daripada jumlah itu, hanya 685 mangsa yang layak diberikan perlindungan oleh pihak kerajaan sebelum dihantar pulang ke negara asal. – UTUSAN ONLINE










