Selangor sasar 198,000 tunai zakat melalui potongan gaji

Selangor sasar 198,000 tunai zakat melalui potongan gaji

Zakat potongan gaji
MOHD. Khaidzir Shahari (kiri) menyaksikan Syed Anwar Jamalullail melancarkan Program Iktiraf pada pada Majlis Grasiaz, di Shah Alam, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menyasarkan kutipan zakat melalui skim potongan gaji dan ejen sebanyak RM780 juta bagi tahun ini.

Jumlah tersebut disasarkan selepas badan baitulmal itu meraih kutipan sebanyak RM415.7 juta daripada 198,000 pembayar zakat melalui skim berkenaan melibatkan 5,069 majikan.

Pada tahun lalu juga, seramai 132,728 pembayar zakat menunaikan kewajiban mereka melalui ejen kutipan dengan menyerahkan zakat sebanyak RM279.74 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zakat Selangor, Mohd. Khaidzir Shahari berkata, sasaran tersebut sebagai manifestasi pihaknya terhadap komitmen untuk membantu lebih ramai asnaf dan dalam masa sama melahirkan lebih ramai pembayar zakat yang istiqamah.

“Keberkesanan potongan gaji memudahkan ramai pekerja untuk menunaikan kewajipan, tanpa perlu bimbang tentang proses yang rumit. Ia juga menunjukkan komitmen majikan.

“Suka saya kongsikan, tahun ini, Zakat Selangor mempunyai 262 ejen kutipan dan rakan kutipan. Mereka berada di barisan hadapan menyampaikan dakwah zakat, membimbing pembayar dan memperluaskan capaian perkhidmatan Zakat Selangor,” katanya ketika berucap pada Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor (Grasiaz) 2026 di sini, hari ini.

Justeru, beliau menyeru majikan supaya membantu pekerja terutama bagi mereka yang bekerja atau bermastautin di negeri ini untuk menunaikan ibadah zakat melalui saluran yang sah.

Malah Zakat Selangor turut memperkenalkan Inisiatif Pengiktirafan Muzakki Zakat Selangor (Iktiraf) yang dilancarkan oleh pengerusinya, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail bagi menggalakkan lebih banyak syarikat menjadikan zakat sebagai sebahagian daripada budaya korporat.

Dalam majlis tersebut, Zakat Selangor menyampaikan Anugerah Saidina Umar kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) atas pengurusan Skim Potongan Gaji terbaik sementara Anugerah Muaz Bin Jabal kepada  Yayasan Johawaki sebagai ejen terbaik keseluruhan.

Malah, Mohd. Khaidzir turut menyampaikan sumbangan Program Siddik dan Skim Khairat kepada 15,268 penerima yang melibatkan jumlah keseluruhan serahan sebanyak RM1.53 juta.

Beliau menambah, Program Siddik dan Skim Khairat merupakan komitmen Zakat Selangor dalam menghargai para pembayar zakat serta menjaga kebajikan mereka dan keluarga.

“Program Siddik atau Sumbangan Pendidikan Anak Muzakki merupakan manfaat eksklusif kepada pembayar zakat yang menunaikan zakat di Zakat Selangor sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka.

“Skim Khairat, alhamdulillah, seramai 161 penerima menerima manfaat Skim Khairat dengan jumlah agihan sebanyak RM241,500,” ujarnya.

Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan sukacita terhadap agihan Zakat Selangor berjumlah RM1.33 bilion di samping kutipan sebanyak RM1.31 bilion bagi tahun 2025.

Daripada keseluruhan agihan tahun lalu, lebih 60 peratus dikhususkan kepada golongan fakir dan miskin melibatkan lebih 75,000 keluarga penerima di seluruh negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN